Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Mahathir halang PAS pulang ke gagang pembangkang
Diterbitkan:  Sep 5, 2017 9:16 PM
Dikemaskini: 2:39 PM

Tun Dr Mahathir Mohamad sememangnya tidak senang dengan PAS dan tidak akan bersetuju untuk bekerjasama dengan parti itu, kata wartawan veteran Subky Latif.

Selain DAP dan Amanah, kata bekas anggota jawatankuasa Pusat PAS itu lagi, Dr Mahathir yang disifatkannya sebagai "pemimpin de facto" Pakatan Harapan (HARAPAN) turut menjadi penghalang kepada PAS untuk kembali bersama gabungan pembangkang.

"Dr Mahathir tidak susah untuk bersama semula dengan Anwar, tetapi mungkin payah untuk bersama PAS. Dia boleh bersama DAP dan Anwar, tetapi tidak mungkin boleh bersama kedua-duanya jika PAS ada bersama DAP.

"Jika PAS dan DAP boleh dipisahkan, tiada masalah baginya untuk bersama DAP. Dan jika Najib boleh ditumpaskan, kalau Mahathir hendak kembali kepada Umno, dia boleh bawa DAP bagi menggantikan MCA, Gerakan dan BN.

"Yang menghalang PAS kembali ke pangkuan Pakatan bukan DAP dan (Presiden Parti Amanah Negara) Mat Sabu sahaja, tetapi pemimpin de facto Mahathir," katanya dalam kolum disiarkan Harakahdaily hari ini.

Isu kerjasama antara PAS dan HARAPAN panas kembali apabila terdapat perbalahan dalam PKR, dengan satu pihak ingin terus mengadakan perbincangan dengan PAS bagi mengelakkan pertembungan tiga penjuru pada pilihan raya umum (PRU) akan datang, dan satu pihak lagi membantah tindakan itu.

Pada 29 Ogos lalu, HARAPAN dalam satu kenyataan ringkas berkata majlis presidennya memutuskan tidak akan ada sebarang kerjasama dengan PAS.

Namun Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam kenyataan 2 September lalu berkata parti itu akan terus berusaha bagi mengelakkan pertembungan tiga penjuru, termasuk berunding dengan PAS.

Kata Subky lagi, ini bukan kali pertama Mahathir enggan bekerjasama dengan PAS, apabila cuba menentang parti itu ketika bersama BN antara 1972 dan 1977.

Pada ketika itu, dakwanya, Dr Mahathir yang menjadi timbalan perdana menteri membuat perancangan menyebabkan PAS terkeluar daripada gabungan itu.

Walaupun dengan usaha terbaru PKR, PAS hari ini menerusi Ketua Penerangannya Nasruddin Hassan hari ini menegaskan tidak akan ada lagi kerjasama dengan PKR dan HARAPAN pada PRU akan datang.

Lihat Komen
ADS