Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Mukhriz rayu ahli PAS sokong HARAPAN, walaupun pemimpin enggan
Diterbitkan:  Sep 7, 2017 1:46 PM
Dikemaskini: 6:06 AM

Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Datuk Seri Mukhriz Mahathir meminta penyokong PAS menjauhi Umno, walaupun di saat pemimpin mereka dilihat semakin dekat dengan parti itu.

Beliau berkata, usaha menyelamatkan negara menjadi semakin rumit apabila pemimpin PAS semakin mesra dengan parti yang dulu dianggap sebagai musuh ketat mereka.

“Saya merayu kalau tak diberi (peluang oleh) kepimpinan PAS, biarlah ahli dan penyokong bersama kami. Ini peluang untuk selamatkan negara, untuk jamin masa depan anak cucu kita.

“Kalau tuan-tuan rasa cukup-cukuplah dengan rasuah, salah guna kuasa, curi duit rakyat, maka saya minta bersama kami," katanya ketika berucap di sebuah program di Ayer Hitam, menerusi rakaman yang disiarkan di Facebooknya semalam.

Hubungan antara Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak dilihat semakin rapat, dengan Abdul Hadi sebelum ini tidak menolak untuk bekerjasama dengan Umno terutama dalam isu melibatkan Melayu dan Islam.

Hubungan antara PAS dengan Pakatan Harapan (HARAPAN) pula semakin menuju jalan buntu, apabila hanya PKR sahaja yang dilihat masih mahu meneruskan hubungan bagi mengelakkan persaingan tiga penjuru pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Majlis Presiden HARAPAN minggu lalu mengeluarkan kenyataan ringkas menyatakan tidak akan ada sebarang kerjasama dengan PAS, dan disusuli kenyataan Ketua Penerangan PAS Nasruddin Hassan yang bernada sama, beberapa hari kemudian.

Mukhriz yang juga bekas naib presiden Umno berkata, ahli dan penyokong PAS perlu faham yang PRU akan datang adalah peluang keemasan bagi mengubah negara ke arah yang lebih baik.

“Sangat merugikan kita kerana ini peluang keemasan, inilah satu-satunya masa untuk kita buat perubahan besar kepada negara, dari kepimpinan mungkar.

"Kita dituntut amal makruh nahi mungkar...Jadi tanggungjawab kita menawan kemungkaran. Bila PAS bersama Umno, rumit kerja kami untuk menggagalkan kemungkaran yang dilakukan kepimpinan Najib,” katanya.

Lihat Komen
ADS