Asyraf: Isu Rohingya agenda besar Najib bertemu Trump
Kunjungan Datuk Seri Najib Razak ke Amerika Syarikat (AS) bagi bertemu Presiden Donald Trump menjadi agenda besar untuk mengetengahkan isu etnik Rohingya di Myanmar, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.
"Perdana menteri akan ke AS dan bertemu Donald Trump dan salah satu agenda besar paling besar berkenaan Rohingya.
"(Perkara) ini tidak boleh dipolitikkan, hal-hal melibatkan kemanusian," katanya kepada media di Pengkalan Kubur, Kelantan hari ini.
Terdahulu beliau mengetuai rombongan Tabung Haji menziarahi keluarga Wan Mohd Zamri Wan Zakaria yang meninggal dunia di Makkah pada 5 September lalu.
Najib dijadualkan bertemu Trump pada 12 September ini di Washington DC, malah beliau menyatakan kesediaan untuk membawa isu Rohingya kepada perhatian pemimpin kuasa besar dunia itu.
Krisis melanda entik minoriti Islam itu dilaporkan semakin berpanjangan susulan tindakan kekejaman oleh regim Myanmar di negeri barat Rakhine.
Pemimpinnya, Aung San Suu Kyi bagaimanapun mengambil pendekatan berdiam diri tanpa sebarang respon terhadap konflik yang kini melibatkan hampir suku juta penduduk Rohingya uang bertindak melarikan diri ke sempadan Bangladesh.
Sehubungan itu, Arsyraf berkata, rakyat Malaysia perlu bersatu hati dan senada dalam menyatakan pendirian terhadap isu tersebut.
Menurutnya, semua kaum di negara ini perlu berada di belakang dan penyokong usaha perdana menteri.
"Saya rasa penganut agama Buddha dan agama-agama lain juga tidak bersetuju dengan apa yang berlaku terhadap golongan ini (Rohingya).
"Kita harap Amerika juga mendesak supaya PBB (Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu) mengambil tindakan tegas terhadap perkara ini, " katanya.

