Paling Popular
Terkini

Tanaman pokok nadir (jarang ditemui) terutama daripada spesis buah perlu diperbanyakkan bagi mengekal kelestarian alam sekitar, kata Ketua Menteri Datuk Seri Idris Haron.

Beliau berkata pokok nadir hanya tumbuh tumbuh meliar di kawasan hutan justeru usaha perlu dilakukan bagi memastikan ia tidak pupus untuk generasi akan datang.

"Saya percaya melalui penanaman pokok ini, selain memastikan ia tidak pupus, ia dapat membantu mengurangkan kesan pemanasan global melalui penyerapan karbon dioksida,” katanya hari ini.

Beliau merasmikan program penanaman pokok sempena Sidang Kemuncak Urban Environmental Accords (UEA) Melaka 2017 di Taman Rekreasi Durian Daun yang turut dihadiri Presiden Institut Arkitek Landskap, Prof Dr Osman Mohd Tahir, Pengarah Landskap Melaka, Sapiah Haron dan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan Dan Alam Sekitar Melaka, Datuk Ismail Othman.

Pada program itu sebanyak 200 batang pokok nadir daripada pelbagai spesies ditanam.

Antara pokok yang ditanam ialah jambu bol, sentul, asam gelugor, pokok mentega, rokam, kerdas, kerian, melinjau, beruas, dan engkalak.

Idris berkata penanaman pokok nadir bertepatan dengan hasrat menjadikan Melaka sebagai negeri teknologi hijau.

 

-Bernama
 

Lihat Komen
ADS