Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Penduduk Taman Melawati bantah bina pusat konvensyen

Penduduk Taman Melawati di Kuala Lumpur, membantah cadangan projek pembinaan sebuah pusat konvensyen berhampiran kawasan perumahan mereka kerana didakwa akan menyebabkan pelbagai masalah termasuk kesesakan lalulintas.

Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Melawati zon A, B dan C Razman Hakimi Mohammad mendakwa cadangan untuk membina sebuah taman rekreasi ditapak berkeluasan 1.36 hektar (3.37 ekar) itu ditukar kepada pembinaan pusat konvensyen tanpa pengetahuan penduduk.

"Pada lima tahun lepas penduduk bersetuju untuk pembinaan sebuah 'centre park' bagi tujuan rekreasi dan mengekalkan kawasan hijau menerusi 'public hearing' serta mesyuarat dengan pemaju dan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) namun apa yang dijanjikan itu tidak dipatuhi.

"Pada 18 Mei lalu kami dimaklumkan untuk menghadiri mesyuarat dengan MPAJ untuk mendengar perubahan pelan oleh pemaju untuk menggantikan pembinaan pusat konvensyen daripada taman rekreasi.

"Kami memberi cadangan supaya membantah projek itu dan mereka tidak mengendahkan," katanya pada sidang media hari ini.

Beliau mendakwa 'public hearing' dan dialog juga tidak diadakan oleh MPAJ sebelum memberi kelulusan pelan baharu itu.

Katanya pihaknya telah mengumpul lebih 2,000 tandatangan membantah cadangan pelan itu dan akan menghantar petisyen serta dokumen berkaitan kepada pihak pemaju, MPAJ dan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Azmin Ali, Isnin ini.

 

-Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS