Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim hari ini berkenan merasmikan program ‘Relay for Life Kuala Lumpur 2017’ di Dataran Petaling Jaya, di Selangor.

Program tahunan anjuran Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM) bertujuan untuk memupuk kesedaran orang ramai tentang kanser serta kepentingan mengesan dan membuat imbasan pada peringkat awal.

Antara aktiviti menjadi tumpuan orang ramai ialah berjalan kaki melibatkan 2,000 peserta termasuk 500 pejuang kanser untuk mengelilingi trek selama 16 jam tanpa henti secara bergilir bermula dari pukul 6 petang tadi sehingga pukul 10 pagi esok.

Tuanku Zara juga turut mencemar duli beramah mesra dengan peserta program dan melengkapkan satu pusingan acara berjalan kaki dengan mengelilingi trek sepanjang 350 meter itu.

Pelbagai pihak terlibat dalam acara kali ini termasuk kira-kira 50 persatuan kanser dari seluruh negara serta persatuan kanser dari Singapura dan Filipina, organisasi, universiti dan pihak sekolah untuk menyertai aktiviti berjalan kaki itu.

Aktiviti yang berlangsung selama dua hari bermula hari ini sehingga esok turut menjemput penyanyi rap, Altimet memberikan persembahan bagi memeriahkan program pada malam ini.

Pada majlis itu, Penasihat Kehormat NCSM, Datuk Zuraidah Atan mengucapkan terima kasih di atas sokongan semua pihak kerana program tahunan yang sudah mencecah edisi ke-11 itu sentiasa mendapat sambutan orang ramai setiap tahun walaupun hujan turun semasa program berlangsung.

 

-Bernama