Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
HARAPAN yakin Husam mampu jadi pendamai di Kelantan

Perpecahan dalam PKR berhubung isu untuk meneruskan rundingan pilihan raya dengan PAS menyebabkan Pakatan Harapan di Kelantan menerima tempiasnya.

Keadaan itu kini turut menjejaskan hubungan PKR dengan rakan-rakannya dalam gabungan itu.

AMANAH yang menjadi sekutu PKR dalam HARAPAN menentang keputusan itu dan dilapor sedang mempertimbang untuk memboikot pemimpin yang menyokong rundingan dengan PAS.

Menyedari keadaan itu boleh menjejaskan persiapan HARAPAN menghadapi pilihan raya umum, pimpinan PKR dan AMANAH menyerahkan isu itu kepada Pengerusi HARAPAN Kelantan Datuk Husam Musa untuk bertindak selaku pendamai.

"Saya sangat yakin Husam, sebagai ketua Harapan di Kelantan dan juga seorang ahli politik berpengalaman di Kelantan, boleh mengendalikan keadaan semasa yang bergolak," kata Timbalan Presiden AMANAH, Salahuddin Ayub kepada Malaysiakini.

Malaysiakini difahamkan bahawa Husam, yang juga naib presiden AMANAH akan mengadakan mesyuarat HARAPAN di peringkat negeri pada Khamis depan.

Salahuddin percaya Husam akan dapat membantu HARAPAN untuk "kembali di landasan yang betul".

Bagaimanapun, Salahuddin berkata Husam hanya dapat mengendalikan isu itu di peringkat HARAPAN tetapi bukan campur tangan dalam hal ehwal dalaman PKR.

"Tapi apa yang berlaku dalam PKR Kelantan, itu kita akan serahkan kepada PKR, itu masalah mereka," kata Salahuddin.

Sementara itu, Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution Ismail menggesa PKR Kelantan menghormati keputusan HARAPAN.

HARAPAN pada 29 Ogos lalu memutuskan untuk menghentikan rundingan pilihan raya dengan PAS.

Bagaimanapun, berikutan keputusan itu, Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi warkahnya dari penjara menggesa agar pintu rundingan kepada PAS tetap dibuka.

Saifuddin menegaskan bahawa PKR terikat dengan keputusan HARAPAN dan Anwar juga menghormati keputusan yang dibuat dalam kerangka gabungan itu.

"Sebab tu saya minta kepimpinan PKR di Kelantan, menghormati kerangka kerjasama HARAPAN dan mentaati keputusan yang telah dibuat oleh HARAPAN di peringkat pusat," katanya.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS