Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Sekumpulan aktivis berkumpul di Padang Kota Lama di George Town untuk menyatakan sokongan terhadap etnik Rohingya yang berdepan dengan kekejaman Myanmar semalam.

Menganggap tindakan kerajaan itu sebagai genosid (pembersihan etnik), kira-kira 50 orang berkumpul dengan sepanduk dan poster menggesa mangsa tindakan pihak berkuasa itu diselamatkan.

Dianjurkan oleh Aliran dan Penang Stop Human Trafficking Campaign, peserta bantahan itu turut menulis mesej untuk dihantar ke mangsa krisis berkenaan.

Mereka kemudian bertafakur selama seminit untuk memperingati korban mangsa serangan terancang berkenaan.

Himpunan seumpama itu turut diadakan di pelbagai lokasi lain termasuk di Kuala Lumpur dan Jakarta Indonesia.

Pegawai Penang Stop Human Trafficking, James Lochhead, berkata tindakan kerajaan Myamar terus menafikan hak etnik Rohingya serta membiarkan mereka hidup dalam ketakutan memang suatu perbuatan genosid.

Katanya sejak 1960-an wujud serangan terancang secara sistematik dan berterusan ke atas orang Rohingya di Myanmar.

"Junta tentera bersifat menekan dan melakukan keganasan ke atas banyak etnik di Myanmar. Sesetengah mereka bertindak balas dengan menubuhkan pasukan bersenjata seperti Tentera Penyelamat Rohingya Arakan, tetapi lebih ramai yang tidak melawan hingga kini," katanya.

Krisis yang mesti dikutuk

Menurut Lochhead isu Rohingya mempunyai sejarah yang rumit kerana berkait dengan penjajahan British yang dulu bertindak memindah atau membawa orang sewenang-wenangnya.

British, katanya, menyebabkan sesuatu kaum berperang antara satu sama lain dan mereka menetapkan sesuatu sempadan dan menamakan wilayah itu sebagai sebuah negara.

Lochhead berkata demikian bagi menjelaskan sama ada orang Rohingya adalah pengganas atau tidak, ekoran ada rakaman video menunjukkan sebahagian mereka melakukan aktiviti ganas.

Sementara itu Anggota Dewan Undangan Negeri Machang Bubok Lee Khai Loon apa yang lebih mengecewakan ialah kerajaan dipimpin Aung San Suu Kyi terus menafikan hak orang Rohingya.

"Berbanding orang lain Suu Kyi sepatutnya lebih memahami makna hak asasi dan demokrasi kerana dia sendiri pernah ditahan dan didakwa oleh junta tentera Myanmar sebelum dapat memenangi pilihan raya," katanya.

Lee juga menganggap situasi orang Rohingya sekarang sebagai krisis kemanusiaan yang mesti dikutuk oleh masyarakat antarabangsa.

"Ia bukan isu luaran seperti dianggap sesetengah pemimpin kita, tetapi ia membabitkan Asean.

"Kita semua mesti memainkan peranan supaya kerajaan Myanmar berhenti daripada membunuh orang Rohingya dan menyediakan bantuan kepada etnik terbabit," katanya.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS