Memang ada kad orang kurang upaya (OKU) tetapi polis masih menjalankan siasatan berhubung kekecohan yang berlaku membabitkan seorang wanita dan pegawai penguat kuasa Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Serdang, ACP Megat Mohamad Aminuddin Megat Alias, berkata maklumat sudah diperolehi pihak berkuasa selepas wanita terbabit dan suaminya hadir memberi keterangan semalam.

Kata Megat Mohamad Aminuddin wanita itu berusia 40-an manakala suaminya 50-an.

Menurutnya kenyataan dua individu itu dirakam mengikut Seksyen 112 Kanun Prosedur Jenayah di Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang kira-kira jam 11 malam.

“Hasil semakan mendapati suami kepada wanita berkenaan memang mempunyai kad OKU yang sah, namun polis masih menjalankan siasatan sama ada lelaki tersebut berada dalam kenderaan atau tidak ketika kejadian berlaku," katanya dilaporkan Sinar Online.

Justeru kata Megat Mohamad Aminuddin kertas siasatan sedang disiapkan dan meminta orang ramai memberi ruang kepada polis menyelesaikannya.

Beberapa hari lalu satu rakaman video tular menunjukkan seorang wanita menjerit-jerit serta mengacukan sebatang pengunci stereng ke arah penguat kuasa MPSJ.

Penguat kuasa mengambil tindakan mengapit tayar kereta wanita itu kerana diletakkan di kawasan yang tidak sepatutnya.

Pelayar laman sosial bagaimanapun memuji sikap penguat kuasa terbabit yang kelihatan tenang walaupun berdepan dengan kecaman wanita berkenaan.

Insiden itu dikatakan berlaku kira-kira jam 1 tengahari di pusat komersil Bandar Puteri pada Rabu.

Megat Mohamad Aminuddin juga meminta orang ramai tidak menjadikan isu itu lebih sensasi kerana pasangan terbabit kini dikatakan tertekan ekoran kejadian berkenaan.