Paling Popular
Terkini

ULASAN l Sementara lawatan kerja penuh kontroversi Datuk Seri Najib Razak ke Amerika Syarikat dari 11 hingga 13 September mungkin menjadi tumpuan minggu ini, Pakatan Harapan (HARAPAN) sedang terus giat menggerakkan jenteranya di semua peringkat untuk persediaan Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14.

HARAPAN, malah dijangka mengambil langkah besar mengumumkan sebahagian tawaran manifesto PRU-14 minggu ini.

Dalam beberapa minggu yang lalu, HARAPAN telah menyelesaikan pelantikan pengerusi HARAPAN di semua negeri.

Ada negeri yang telah membentuk struktur jawatankuasa HARAPAN peringkat negeri masing-masing. Ini termasuk di Selangor yang dipengerusikan oleh Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Menurut Ketua Setiausaha HARAPAN, Datuk Saifuddin Abdullah, gabungan itu akan menubuhkan pula jawatankuasa penyelaras parlimen dengan seberapa segera bermula dengan 100 kawasan menjelang akhir bulan September.

Ini katanya, susulan daripada selesainya rundingan kerusi bagi kawasan parlimen berkenaan.

"Kita sudah selesai rundingan untuk sebahagian besar kerusi parlimen. Kita sedang membincangkan kerusi negeri, iaitu peringkat kedua rundingan. Jadi, kita sekarang berada di peringkat kedua," katanya dalam sidang media Majlis Setiausaha HARAPAN pada 5 September lalu.

Kesepakatan makin terserlah

Di sebalik pelbagai persepsi negatif, kemajuan ini membawa petanda yang positif buat gerakan perubahan yang dibayangkan oleh HARAPAN selama ini.

Ia menandakan kesepakatan yang makin terserlah dalam peringkat pimpinan HARAPAN. Ia menunjukkan kesungguhan untuk menyelesaikan perkara rumit secara serius dan konsensus.

Ia juga bermakna persiapan jentera dan gerak kerja bukan sahaja berlaku dalam parti-parti komponen HARAPAN tetapi akan diperkukuhkan dengan gerakan bersepadu sebagai HARAPAN.

Jika ditinjau secara teliti dalam media sosial khususnya, boleh dikatakan setiap minggu terdapat pelbagai program penerangan dan menyantuni rakyat yang dilakukan oleh parti-parti HARAPAN di serata negara.

Ini tidak termasuk pelbagai kenyataan dan pandangan yang dikeluarkan oleh pimpinan terhadap isu dan agenda rakyat.

Kombinasi dalam HARAPAN antara PKR, DAP, Parti Amanah Negara (AMANAH) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) merupakan kombinasi yang strategik dalam menafikan kuasa parti pemerintah kleptokrat Umno BN.

Ia kombinasi yang digeruni oleh Umno BN sehingga mereka terpaksa melakukan perang propaganda, perang halus dan perang saraf secara agresif.

Ia bermula dengan menghasut PAS untuk bersamanya atas nama perpaduan Melayu dan agama termasuk menggunakan RUU355.

Cubaan 'bunuh'

Ia kemudian diikuti dengan melabel DAP kononnya memperjuangkan liberalisme melampau dan fahaman sekular berbahaya, menamakan DAP kononnya sebagai dalang di belakang HARAPAN dan persaingan dalam PRU14 nanti ialah persaingan antara keindukan kerajaan pimpinan Umno dan DAP.

Ia turut menyifatkan HARAPAN umpama satu kapal tiga nakhoda dan yang terkini cubaan ‘membunuh’ karektor atau personaliti pimpinan utama HARAPAN, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim, dengan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk siasat kerugian urus niaga mata wang asing oleh Bank Negara Malaysia (BNM), kes yang berlaku lebih 20 tahun lalu.

Apakah taktif perang begini akan berjaya? Saya fikir tidak kerana seperti yang pernah saya nyatakan dalam rencana terdahulu, rakyat bijak menilai.

Rakyat sendiri boleh menilai berdasarkan maklumat yang mereka boleh perolehi daripada pelbagai sumber. Rakyat tidak lagi bergantung kepada media perdana seperti televisyen dan radio yang selalunya menjadi saluran propaganda Umno BN.

Kalau pun ada propaganda melalui media sosial, rakyat boleh kenal “cybertroopers” dan dakyah Umno BN.

Banyak wang

Dalam masa yang sama, HARAPAN sendiri banyak menangani tanggapan dan persepsi serta menangkis fitnah dengan penjelasan yang baik.

Sebab itu Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Annuar Musa sendiri, dilaporkan meminta jentera BN termasuk Umno untuk mengatasi sindrom memandang rendah kemampuan sendiri dalam usaha menangkis fitnah yang dilempar pihak pembangkang terutamanya di media sosial.

Walaupun Umno BN memiliki banyak kelebihan termasuk wang, namun pengakuan oleh Annuar itu menunjukkan taktik propaganda mereka gagal kerana jentera sendiri yang tidak yakin dengan kepimpinan dan penjelasan berkenaan isu seperti skandal 1MDB.

Mungkin banyak wang itu bukan satu kelebihan tetapi satu kelemahan kerana tanpa wang, jentera Umno BN tidak bergerak.

Lantas saya teringat kepada pengumuman yang dibuat oleh HARAPAN sejurus selesai mesyuarat majlis presidennya pada 13 Julai lalu.

Penyataan dan persetujuan yang besar telah dibuat oleh nama-nama besar dalam politik negara. Anwar, Dr Mahathir, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Tan Sri Muhyiddin Yasin, Lim Guan Eng dan Mohamad Sabu antaranya.

Memaklumkan kesediaan mengetepikan perbezaan, mengambil tanggungjawab untuk membela rakyat dan membina semula negara dengan menggembleng seluruh kekuatan rakyat dan melalui kesatuan politik yang lebih jitu, segar dan dinamik.

Krisis tenat

Malah beberapa matlamat telah dinyatakan termasuk yang paling penting ialah keazaman HARAPAN untuk menghapuskan GST, menstabilkan harga petrol, meringankan beban rakyat, mereformasi institusi secara menyeluruh, memerangi rasuah, menubuhkan RCI skandal 1MDB dan memulihkan Felda dalam tempoh 100 hari pertama setelah membentuk kerajaan.

Manakala proses memohon pengampunan dan pembebasan Anwar akan dimulakan dalam tempoh seminggu selepas HARAPAN membentuk kerajaan.

Penyataan itu berasaskan kesedaran terhadap harapan rakyat untuk perubahan politik negara ke arah pemerintahan yang lebih demokratik, adil dan sejahtera serta melaksanakan reformasi institusi, menjalankan tadbir urus yang baik dan mengutamakan kebajikan rakyat.

Ia juga berdasarkan keinsafan bahawa Malaysia di bawah pemerintahan kerajaan BN sedang berada di dalam keadaan krisis yang tenat, terpalit dengan skandal rasuah dan salah guna kuasa yang amat luar biasa, dan rakyat menanggung bebannya.

Namun penyataan sahaja tidak mencukupi. Saya percaya rakyat sememangnya mahukan perubahan tetapi sebagai kerajaan yang menanti, HARAPAN wajar bekerja keras secara berstrategi, tersusun dan bersepadu untuk meyakinkan rakyat.

Kempen yang berkesan ialah kempen kepada sasaran yang tepat berasaskan analisis isu, data dan pengundi disusuli dengan bahan-bahan kempen yang terselaras dari segi mesej. Kepelbagaian kempen juga penting untuk disesuaikan dengan sasaran.

Dengan tumpuan dan jentera yang baik, saya yakin rakyat akan memberi mandat yang baru kepada HARAPAN. Pada akhirnya, kepimpinan yang jujur dan amanah untuk benar-benar membela nasib rakyatlah yang akan menentukan pilihan mereka.


SYED IBRAHIM SYED NOH adalah Ketua Penerangan PKR.

Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS