Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Ustaz berperut boroi itu memalukan
Diterbitkan:  Sep 12, 2017 1:26 PM
Dikemaskini: 5:30 AM

GLOBAL | Di samping gigih menyebarkan ajaran Islam pendakwah sepatutnya tidak mengabaikan aspek kesihatan kerana ia sendiri satu daripada tuntutan agama, kata Mufti Singapura Dr Mohd Fatris Bakaram.

Antara masalah memalukan yang dialami sesetengah pendakwah kini, kata beliau, ialah memiliki perut buncit.

"Kita mengajak masyarakat melaksanakan agama, dan antara ajaran agama ialah menjaga kesihatan.

"Tapi kalau ada di kalangan ustaz pula yang perutnya buncit, itu sangat memalukan," katanya seperti dilaporkan BERITAMediacorp Singapura.

Kata Mohd Fatris beliau pernah tersentap dengan persoalan itu ketika berbual dengan ketuanya semasa bertugas di Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS).

Ketuanya itu, kata Mohd Fatris, menjelaskan satu daripada perkara yang memalukan pendakwah kini ialah memiliki perut buncit.

Jihad jaga kesihatan

"Jadi saya bila dengar begitu, saya rasa ya tak ya juga. Macam mana kita ini golongan) ustaz, mengajak masyarakat melaksanakan agama, dan antara ajaran agama adalah untuk menjaga kesihatan," katanya.

Menyatakan beliau kini mengubah gaya hidup ke arah lebih aktif Mohd Fatris berkata pendakwah perlu menganggap langkah menjaga kesihatan sebagai antara 'jihad' yang perlu dilakukan walaupun ia tidak mudah.

Antara cabaran yang ada, kata beliau, ialah hidangan pada musim perayaan tertentu.

"Apabila jadi mufti, jadi Ustaz ini, khususnya datang musim perayaan seperti Maulid Nabi, Ramadan, kita akan mendapat undangan yang banyak.

“Pada setiap majlis dan undangan itu pastinya hidangan-hidangan yang dihidangkan juga adalah dalam kategori biasa itu adalah beriani, air-air manis. Jadi itu kena jaga dan saya cuba," katanya.

Berhubung keadaan di Singapura Mohd Fatris berkata aspek kesihatan menjadi antara cabaran di kalangan orang Melayu di negara itu.

Ia kerana 50 peratus Melayu Singapura yang berusia lebih 60 tahun menghidap penyakit kencing manis.

"Masyarakat Melayu nampaknya lebih terpukul dengan isu ini kerana Perdana Menteri Lee Hsien Loong mendedahkan kencing manis adalah krisis kesihatan bagi orang Melayu," katanya.

Lihat Komen
ADS