Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Jerung atau bilis, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak peduli. Itu mesej yang disampaikan agensi itu dengan pelancaran dua koc perkhidmatan transit aliran ringan (LRT) laluan Kelana Jaya hari ini.

Ia dirasmikan bersama oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Dzulkifli Ahmad serta Presiden serta Ketua Pegawai Eksekutif Prasarana Malaysia Bhd, Azmi Abdul Aziz.

Dua koc khas itu dihiasi slogan "Jerung Atau Bilis Dalam Jaring Kami" - menggambarkan kesungguhan SPRM menahan pelaku rasuah tanpa mengambil kira latar kedudukan seseorang.

"Untuk kali pertama dalam sejarah SPRM memilih LRT untuk menyebarkan mesej antirasuah.

"Kami memasukkan mesej itu di luar dan dalam koc LRT berkenaan," kata Dzulkifli di Bangsar, hari ini.

Dengan jumlah sehingga 250,000 pengguna bagi laluan Kelana Jaya setiap hari, Dzulkifli percaya mesej berkenaan akan sampai kepada sehingga lima juta penumpang tidak lama lagi.

Kempen antirasuah SPRM tidak akan berakhir begitu saja.

Hargai sokongan ramai

Kata Dzulkifli sempena sambutan ke-50 tahun penubuhan SPRM mereka merancang pelbagai program berkaitan termasuk pelancaran konvoi "Kembara Jelajah Anti Rasuah" atau KEJAR.

Melalui KEJAR, katanya, beliau akan mengetuai pegawai kanan SPRM menjelajah ke seluruh negara menaiki bas dan diiringi 40 motosikal berkuasa besar bagi menyebarkan mesej membasmi rasuah.

"Kita nak kejar seluruh rakyat Malaysia untuk bersama SPRM," katanya berseloroh.

Menurut Dzulkifli konvoi itu akan bermula dari Putrajaya dan menuju Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Pahang, Terengganu, Kelantan dan Perak.

Selepas berehat seketika katanya konvoi berkenaan akan meneruskan kembara ke Pulau Pinang, Perlis dan kembali ke Putrajaya.

Pada 30 Mac, konvoi itu akan berhenti di Menara Kuala Lumpur dan menyasikan seorang penerjun antarabangsa membuat terjunan bersama bendera SPRM.

"SPRM sudah mengumumkan Oktober ini sebagai bulan antirasuah dan ia akan diisi dengan pelbagai acara," katanya.

Pengisian itu kata Dzulkifli adalah sebagai tanda penghargaan SPRM kepada orang ramai yang menyokong agensi terbabit sejak ditubuhkan setengah abad lalu.

"Sambutan itu akan diakhiri dengan perasmian ibu pejabat baru SPRM di Precint 7 pada 1 Oktober yang kini menjadi mercu tanda baru di Putrajaya," katanya.

Lihat Komen
ADS