Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Dikecam akibat siar gambar Sultan Kedah dengan Najib
Diterbitkan:  Sep 12, 2017 4:36 PM
Dikemaskini: 8:58 AM

Sebuah laman Facebook pro-pembangkang mengundang kecaman ekoran memuat naik gambar almarhum Sultan Kedah Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah dan isterinya Sultanah Haminah Hamidun bersama-sama perdana menteri Datuk Seri Najib Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor, di saat negara berkabung di atas kemangkatan baginda.

Gambar itu pertama kali dimuat naik laman "Tak Nak BN" dan kemudiannya dikongsi laman yang dikaitkan dengan penyokong pengerusi DAP Perak Nga Kor Ming, "Nga Kor Ming super fan's club".

Menurut pengguna Facebook Muhamad Harris Nasril, gambar itu diiringi keterangan "perdana menteri & 'suaminya'" dan dimuat naik pada pukul 7.47 petang semalam, beberapa jam selepas kemangkatan baginda.

Beliau berkata, laman penyokong Nga kemudian memadam gambar tersebut selepas menerima kecaman netizen yang menggesa laman itu menunjukkan rasa hormat kepada almarhum.

Ini bukan kali pertama laman yang mempunyai lebih 400,000 pengikut itu memuat naik posting yang mengundang kecaman serupa dan Nga sendiri menafikan kaitan dengannya.

Mengulas kecaman terbaru itu, Nga menjelaskan beliau telah memuat naik ucapan takziah di laman Facebook peribadinya.

"Saya hanya ada satu akaun Facebook dan saya mengecam mana-mana akaun palsu yang cuba memfitnah saya," katanya kepada Malaysiakini.

Sementara itu anggota jawatankuasa pusat MCA Datuk Seri Ti Lian Ker menyifatkan posting itu sebagai tidak sensitif.

"Walaupun ia telah dipadam ekoran kemarahan netizen yang mengecam DAP sebagai tidak sensitif dan keji, kemarahan netizen masih belum padam kerana mereka terus mengkritik laman itu," katanya dalam satu kenyataan.

Ti menggesa Nga agar memohon maaf kepada kerabat diraja Kedah.

"Membuat penafian atau berdiam diri terhadap apa yang berlaku di media sosial hanya mengesahkan lagi yang DAP tidak menghormati Perlembagaan Persekutuan dan institusi diraja," katanya.

Sultan Abdul Halim mangkat pada pukul 2.30 petang semalam di Istana Anak Bukit, Kedah, pada usia 89 tahun.

Lihat Komen
ADS