Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
story images
story images
mk-logo
Berita

Jenazah Almarhum Sultan Kedah Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah selamat disemadikan di Makam Diraja Langgar, Alor Setar, petang ini.

Almarhum Sultan Abdul Halim , 89, mangkat di Istana Anak Bukit pada pukul 2.30 petang semalam selepas memerintah Kedah selama 59 tahun.

Jenazah almarhum baginda disemayamkan di Dewan Penghadapan, Istana Anak Bukit, dari pukul 11 hingga 1.30 tengah hari bagi membolehkan rakyat dan orang kenamaan memberi penghormatan terakhir.

Sebelum itu pada pukul 10.30 pagi, Mufti Kedah Datuk Syeikh Fadzil Awang mengimamkan solat jenazah di dewan sama.

Pada pukul 2.30 petang, pedati khas yang membawa jenazah almarhum keluar meninggalkan Istana Anak Bukit dan tiba di Makam Diraja Langgar pada pukul 4 petang.

Sebaik istiadat pemakaman selesai kira- kira pukul 4.45 petang, Syeikh Fadzil dan Imam Besar Masjid Zahir Datuk Syeikh Roslan Abdul Halim mengetuai bacaan talkin, manakala Syeikh Alauddin Abu Bakar memimpin bacaan tahlil dan doa.

Berangkat sama ke Makam Diraja ialah Sultan Kedah yang baru dimasyurkan Tunku Sallehuddin Almarhum Sultan Badlishah, Tunku Temenggong Kedah Tunku Puteri Intan Shafinaz Sultan Abdul Halim, Tengku Bendahara Kedah Tan Sri Tunku Abdul Hamid Thani dan Tunku Laksamana Kedah Datuk Tengku Sarafuddin Badlishah Tunku Sallehuddin Almarhum Sultan Badlishah dan Tunku Soraya Sultan Abdul Halim.

Turut hadir ialah Menteri Besar Kedah Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah, barisan Exco kerajaan negeri dan pegawai-pegawai kanan negeri.

Hadir sama, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Rakyat pelbagai lapisan turut ke Makam Diraja Langgar untuk menyaksikan istiadat pemakaman.

"Rakyat Kedah hari ini berdukacita dengan kehilangan Sultan Abdul Halim yang disifatkan sebagai seorang sultan berwibawa dan berjiwa rakyat.

"Saya yakin Tunku Sallehuddin akan mengikut jejak langkah almarhum dalam memerintah negeri ini," kata Ismail Abu, 57, yang ditemui di sini.

Nur Rosmah Wahab, 33, dari Pendang berkata, beliau datang ke Makam Diraja Langgar semata-mata mahu melihat istiadat pemakaman.

"Sebelum itu saya dan suami ke istana tetapi tidak dapat masuk kerana terlalu ramai orang, lalu membuat keputusan ke makam sebab berasa jiwa tak tenang jika tak datang melihat istiadat ini yang membabitkan seorang sultan berjiwa rakyat," katanya.

Sebanyak 89 das tembakan dilepaskan oleh pasukan artileri bersamaan usia almarhum baginda sehingga jenazah tiba di makam.

Tembakan pertama dilepaskan sebaik pedati keluar meninggalkan istana dan tembakan terakhir sebaik jenazah tiba di makam pada pukul 4 petang.

-Bernama

Lihat Komen
ADS