Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita

Walaupun ketika ekonomi negara kurang memuaskan, pasaran hartanah Kelantan mencatatkan prestasi memberangsangkan sejak tiga tahun lalu, kata Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Belia dan Sukan negeri, Datuk Abdul Fattah Mahmood.

Katanya, ia membuktikan penduduk negeri itu mempunyai kuasa beli dan keupayaan kewangan yang tinggi.

Beliau memetik laporan tahunan Pasaran Hartanah 2016 yang dikeluarkan Pusat Informasi Hartanah Nasional (NAPIC) yang menunjukkan negeri itu mencatatkan transaksi lebih RM600 juta dalam sektor perumahan untuk tahun itu.

"Kira-kira 90 peratus pembeli rumah di negeri ini adalah rakyat tempatan, hanya sedikit sahaja dibeli orang luar susulan undang-undang kita yang ketat.

"Ini menunjukkan Kelantan adalah negeri membangun dan bukannya mundur seperti tohmahan sesetengah pihak," katanya pada majlis pecah tanah Perumahan Kota Jembal di Kota Bharu petang tadi.

Beliau juga ahli dewan undangan negeri Bukit Panau melancarkan Projek Perumahan Bercampur Kota Jembal yang merupakan usahasama antara Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) dan SPP Development Sdn Bhd bernilai RM90 juta.

Projek itu akan menyediakan 242 unit rumah di atas tanah seluas 12 hektar.

Beliau berkata, kemampuan rakyat negeri telah mendorong syarikat berkaitan kerajaan (GLC) agresif membuat pembangunan perumahan sejak 2014.

"Kerajaan negeri sedar permintaan rumah sentiasa meningkat. Sebagai kerajaan yang prihatin terhadap keperluan rakyat terutama yang berpendapatan rendah dan sederhana, kerajaan negeri sentiasa mendengar permintaan untuk keselesaan dan kelestarian hidup.

"(Transaksi hartanah 2016) memberitahu kita perusahaan tanah ini mampu menarik aliran modal ke Kelantan dan memberi kesan yang baik kepada ekonomi dan rakyat negeri ini," katanya lagi.


 

Lihat Komen
ADS