Pengurusan kes periuk nasi logo BN pada 3 Nov

       

Masih tidak ada tawaran penyelesaian daripada Pengerusi Umno Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim yang juga adalah Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan dua yang lain berhubung dakwaan melanggar kontrak pembelian puluhan ribu unit periuk nasi daripada seorang ahli perniagaan.

Difahamkan tidak ada tawaran yang dibuat untuk menyelesaikan saman berkenaan apabila perkara dijadualkan untuk pengurusan kes di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.

Berikutan itu, Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh, menetapkan 3 Nov untuk pengurusan kes seterusnya supaya beliau boleh memberi arahan lanjut kepada pihak-pihak berkenaan.

Tarikh perbicaraan ditetapkan pada 5 dan 6 Feb tahun depan jika tiada penyelesaian dicapai.

Saman itu difailkan oleh Florence Lee Jye Wen, seorang pembekal barangan elektrik ke atas Shahidan bersama-sama dengan anggota parlimen Padang Besar Datuk Zahidi Zainul Abidin dan Bendahari Umno Perlis Datuk Rozabil Abdul Rahman yang dinamakan sebagai defendan.

Umno Perlis didakwa menempah 60,000 unit periuk nasi 1.8 liter daripada Lee pada 3 Jun 2015 yang diletakkan logo Umno, BN dan DSSK (kependekan untuk Datuk Seri Shahidan Kassim).

Berdasarkan pernyataan tuntutan yang difailkan pada 16 April di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Lee mendakwa beliau ditemui oleh wakil jualan yang menyebut Umno Perlis berminat membeli periuk nasi yang diletakkan logo Umno dan kependekan nama Shahidan.

Shahidan adalah pengerusi Umno negeri. Zahidi pula menjadi setiausaha agungnya.

Seunit periuk nasi itu dikatakan dijual dengan harga RM74 – lebih murah berbanding harga pasaran RM107 – dengan setiap 20,000 unit akan diedarkan untuk kawasan parlimen Arau, Padang Besar dan Kangar.

Jumlah keseluruhan jualan itu mencecah angka RM4.4 juta.

Bagaimanapun, katanya 8,000 unit masih tidak diambil sehingga ke hari ini menyebabkan beliau rugi sebanyak RM592,000.

Dia juga menuntut ganti rugi khas RM36,511.40 untuk kos menyimpannya dan RM2,750.35 kerana terpaksa menyimpan periuk nasi itu tanpa dapat menjualnya akibat label tertera padanya.

Lee juga menuntut ganti rugi am dengan jumlah yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

[Baca berita penuh]

Komen

PERINGATAN:
Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Malaysiakini
terkini untuk anda