Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Wang ihsan RM2.2 juta untuk mangsa banjir Pasir Mas

Kerajaan Persekutuan memperuntukkan wang ihsan sebanyak RM2.2 juta untuk diagihkan kepada 4,553 mangsa banjir di jajahan Pasir Mas, Kelantan yang berlaku pada penghujung tahun lepas dan awal tahun ini.

Ketua Umno bahagian Pasir Mas, Datuk Hanafi Mamat berkata setiap ketua keluarga akan menerima sebanyak RM500 seorang bagi meringankan beban akibat bencana alam itu.

Beliau berkata pemberian wang ihsan berkenaan dilakukan dalam tiga fasa yang mana fasa pertama hari ini menyaksikan 653 ketua keluarga menerima pemberian berjumlah RM326,500.

“Fasa kedua dan ketiga tarikhnya akan ditetapkan kemudian,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan wang ihsan berkenaan di Kolej Vokasional Pasir Mas di sini.

Hanafi juga berkata rakyat perlu bersyukur dengan adanya agensi kerajaan seperti Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) yang sentiasa melaksanakan tugasan dengan baik ketika berlakunya bencana.

Beliau berkata pemberian wang ihsan itu menunjukkan keprihatinan kerajaan persekutuan terhadap nasib penduduk di kawasan yang ditimpa bencana alam.

"Sebagai wakil kepada setiap warga Pasir Mas, saya ingin merakamkan ucapan terima kasih khususnya kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang begitu prihatin dengan masalah rakyat di sini,” katanya sambil berharap wang ihsan itu dapat mengurangkan beban perbelanjaan harian mereka.

Beliau berkata rakyat seharusnya pandai menilai dan bersyukur dengan kerajaan yang ada sekarang yang begitu peka dengan setiap permasalahan rakyat.

 

-Bernama

Lihat Komen
ADS