Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Industri berintensif cap dagangan sumbang 30 peratus KDNK

Industri berintensifkan cap dagangan di Malaysia menjana sumbangan langsung dan tidak langsung masing-masing sebanyak 30 peratus dan 60 peratus kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) negara, demikian menurut kaji selidik Persatuan Cap Dagangan Antarabangsa (INTA) yang dikeluarkan di Kuala Lumpur, hari ini.

Ketua Perwakilan Asia-Pasifiknya, Seth Hays, berkata kaji selidik itu yang meliputi tempoh 2012 hingga 2015 dijalankan oleh perunding ekonomi utama Frontier Economics, di Eropah.

Beliau berkata kaji selidik itu menunjukkan terdapat hubung kait antara industri berintensifkan cap dagangan dan bukan cap dagangan.

"Industri berintensifkan cap dagangan di Malaysia, yang merangkumi pembuatan komputer, elektronik dan peralatan berkaitan, menyumbang kira-kira 19 peratus daripada jumlah tokokan nilai pembuatan.

"Ia menyumbang 55 peratus kepada eksport dan menyediakan 24 peratus daripada jumlah tenaga kerja,” kata Hays pada pembentangan laporan ‘The Economics Contributions of Trademark-intensive Industries in Indonesia, Malaysia, the Philippines, Singapore and Thailand’ (Sumbangan Ekonomi Industri Berintensifkan Cap Dagangan di Indonesia, Malaysia, Filipina, Singapura dan Thailand) di ibu negara, hari ini.

Beliau berkata kaji selidik itu menunjukkan daripada negara-negara yang dikaji, cap dagangan mempunyai kesan paling ketara di Malaysia.

"Ketika kita meneroka implikasi ekonomi dan sosial jangka panjang cap dagangan dan hak harta intelektual berkaitan, penting bagi sektor awam dan swasta untuk meningkatkan perbincangan mengenai isu ini serta menyokong usaha kerajaan untuk meningkatkan cap dagangan dan pembangunan serta perlindungan jenama,” katanya.

INTA menakrifkan industri berintensifkan cap dagangan sebagai yang memiliki penggunaan cap dagangan lebih daripada biasa bagi setiap kakitangan.

Kaji selidik itu bertujuan untuk menilai sumbangan ekonomi industri berintensifkan cap dagangan di lima negara ASEAN yang sesama mereka menyumbang hampir 90 peratus kepada gabungan KDNK komuniti ASEAN.

Sementara itu, ahli INTA dari Malaysia, Michael CM Soo, berkata kaji selidik itu patut dipuji dan harus digunakan oleh ahli-ahli INTA di Malaysia untuk memantapkan kapasiti mereka bagi inovasi, penyelidikan dan pembangunan, termasuk meningkatkan tahap pelaburan dan pewujudan pekerjaan.

Memandangkan persekitaran kompetitif global dan era digital, Soo berkata, laporan itu boleh membantu membangunkan lagi sistem cap dagangan Malaysia dengan menjadi sebahagian daripada Madrid Protocol – sistem dagangan antarabangsa, yang merupakan penyelesaian mudah dan kos efektif bagi mendaftar dan menguruskan cap dagangan di seluruh dunia.

“Kami difahamkan bahawa Perbadanan Harta Intelek Malaysia sedang dalam usaha (meminda Akta Cap Dagangan di Parlimen dengan sewajarnya) dan Akta yang dipinda itu dijangka diluluskan pada suku pertama 2018,” kata Soo, yang juga merupakan Timbalan Rakan Urusan di firma guaman Shook Lin & Bok.

INTA yang berpangkalan di New York, merupakan persatuan global pemilik cap dagangan dan profesional cap dagangan khusus dan harta intelek (IP) berkaitan bagi melindungi pengguna dan menggalakkan perdagangan yang adil dan efektif.

Ia memiliki lebih 7,000 ahli di lebih 190 negara.

 

-Bernama

Lihat Komen
ADS