Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Pelarian Rohingya di M'sia tidak akan dihantar ke S'wak
Diterbitkan:  Sep 14, 2017 6:25 AM
Dikemaskini: 10:30 PM

Kabinet memberi jaminan bahawa pelarian Rohingya yang mendapatkan perlindungan di Malaysia tidak akan dihantar ke Bau dan Serian di Sarawak, kata Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Richard Riot Jaem.

Riot dalam kenyataan berkata jaminan itu diberikan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dalam mesyuarat Kabinet semalam.

Riot berkata isu pelarian Rohingya akan dihantar ke Sarawak adalah berita palsu dan meminta semua pihak agar tidak mempercayai berita seperti dilaporkan beberapa media tempatan sejak ia menjadi tular di media sosial.

Beliau turut menggesa mereka yang menerima berita sedemikian menerusi platform media sosial supaya membuat laporan dengan pihak berkuasa untuk tindakan seterusnya.

Sementara itu di Terengganu, semua masjid di seluruh Terengganu akan mengadakan solat hajat Jumaat ini untuk mendoakan umat Islam Rohingya yang menjadi mangsa penindasan di Myanmar.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman berkata solat hajat itu bertujuan memohon keselamatan saudara seIslam Rohingya agar mereka dapat menjalani kehidupan seperti biasa secepat mungkin.

"Kerajaan negeri juga bersetuju untuk melancarkan Tabung Khas Rohingya sebagai tanda keprihatinan terhadap mereka di sana dan kita mengalu-alukan semua pihak untuk memberi sumbangan mengikut kemampuan mereka.

"Tabung khas ini akan menyalurkan pelbagai bantuan kemanusiaan kepada etnik Rohingya, malah kita juga bersedia menghantar sukarelawan Transformasi Terengganu Baharu (TTB) ke sana untuk menjalankan pelbagai aktiviti kebajikan kepada mereka," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyerahan wang pendahuluan diri pelajar tajaan Yayasan Terengganu Program Saintis Islam dan Program Berkembar ke United Kingdom (UK) di Kuala Terengganu semalam.

Mengulas lanjut, Ahmad Razif berkata Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia negeri Datuk Rozi Mamat telah dilantik untuk menguruskan pelancaran tabung dan sukarelawan TTB yang akan dilaksanakan dalam masa terdekat.

- Bernama

Lihat Komen
ADS