Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Api marak besar, air tak cukup, kata saksi
Diterbitkan:  Sep 14, 2017 11:00 AM
Dikemaskini: 4:50 AM

"Bunyi macam ribut, api sudah marak besar, air tidak cukup," demikian reaksi seorang guru agama di pusat tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Jalan Keramat Ujung, di ibu negara yang terbakar awal pagi tadi.

Mohd Ariff Mawardy, 24, yang baru tujuh bulan mengajar di pusat tahfiz tersebut, berkata kesemua pelajar dan guru sedang tidur sebelum bunyi bising umpama ribut sedang berlaku, terus mengejutkan mereka.

"Saya tidur di tingkat dua (tingkat paling atas bangunan tiga tingkat). Saya terus bangun dan ambil air untuk padamkan api, tapi kebakaran terlalu pantas," katanya ketika ditemui pemberita di Wad Kecemasan Hospital Kuala Lumpur hari ini.

Sejurus kemudian, beliau terus mengejutkan pelajar lain untuk turun ke tingkat bawah menyelamatkan diri dan meminta pertolongan orang lain.

"Jeriji besi menyukarkan kesemua mangsa untuk menyelamatkan diri dengan pantas sehingga ada yang terperangkap di tingkap", katanya sugul dan ditenangkan anggota keluarganya.

Sementara itu, Shahirman Sharil yang menyaksikan sendiri kebakaran di pusat tahfiz berkata jeritan pelajar tahfiz itu terngiang-ngiang di ingatannya, "Panas...panas...abang tolong panas!"

Shahirman, 39, yang tinggal berhampiran pusat tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, berkata beliau mendengar jeritan para pelajar pusat tahfiz itu kira-kira jam 5 pagi.

"Saya melihat keadaan di luar masih gelap kecuali api yang marak di tingkat tiga pusat tahfiz berkenaan.

"Saya bersama penduduk lain cuba membantu mengeluarkan mereka," katanya kepada Bernama ketika ditemui di lokasi kejadian.

Menurut Shahriman, beliau dan jiran-jiran kemudiannya mengarahkan beberapa pelajar terjun dari tingkat tiga.

"Kami cuba menyambut mereka, ada yang melecur. Kami cuba bantu apa yang perlu sebelum menunggu ketibaan bomba untuk memadam kebakaran di pusat tahfiz berkenaan," katanya.

Sementara itu antara saksi terawal, Mohd Hakimi Che Mamat, 38, berkata cubaan beliau untuk membantu mangsa tidak berjaya kerana pintu jeriji asrama pusat tahfiz itu berkunci.

"Waktu saya masuk ke bangunan pusat tahfiz itu kira-kira 5.20 pagi, saya naik ke tingkat tiga tempat mereka tidur yang sudah marak dengan api. Saya cuba buka jeriji pintu itu tetapi tidak dapat.

"Pelajar-pelajar sudah menjerit meminta tolong. Tidak lama kemudian, terdapat beberapa lagi individu datang menolong tetapi kami tidak dapat berbuat apa-apa," katanya yang tinggal di rumah berhadapan pusat pengajian tahfiz itu.

Nurhayati Abdul Halim, 46, yang turut tinggal di hadapan pusat tahfiz itu melahirkan rasa sebak kerana mereka tidak dapat membantu ketika kebakaran berlaku.

"Kami nampak ustaz-ustaz dan pelajar-pelajar melambai tangan meminta tolong," katanya.

Setakat jam 10.30 pagi, seramai 22 pelajar dan dua guru dilaporkan maut dalam kebakaran di pusat tahfiz.

Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Kuala Lumpur, dalam kejadian itu, enam pelajar dan seorang orang awam juga cedera.

- Bernama
 

Lihat Komen
ADS