Paling Popular
Terkini
story images
story images

ULASAN l Jadi, apa yang Malaysia dapat daripada lawatan Perdana Menreri, Datuk Seri Najib Razak ke Amerika Syarikat (AS)?

Setakat ini, apa yang diketahui daripada lawatan itu ialah apa yang bakal dilabur oleh Malaysia dan komitmen Malaysia terhadap Amerika Syarikat.

Antaranya:
a. KWSP akan melabur AS$3 – 4 bilion untuk pembangunan infrastruktur AS.

Komen: Apakah Lembaga Pengarah KWSP tahu dan setuju mengenai perkara ini? Di mana datangnya AS$3-4 bilion ini? Apakah ia wang pencarum atau wang yang dijana melalui keuntungan daripada pelaburan di AS?

PAS menuntut penjelasan KWSP. Mengapa wang KWSP tidak dilabur untuk pembinaan infrastruktur negara sendiri seperti lebuh raya menyambungkan Kota Bharu ke Kuala Lumpur melalui Gua Musang?

b. Malaysia akan membeli 33 kapal terbang Boeing, dan 25 lagi dalam lima tahun akan datang dengan jumlah keseluruhan bernilai antara AS$10-20 bilion.

Komen: MAS pernah membuat pengumuman yang sama di bulan Julai yang lalu. Apakah ia sama?

c. Malaysia akan memujuk Air Asia untuk membeli enjin General Electric.

Komen: Bolehkah kerajaan mencampuri urusan dan keputusan perniagaan swasta seperti Air Asia?

d. Khanazah akan meningkatkan pelaburan di dalam syarikat teknologi tinggi di AS.

Komen: Sekiranya pelaburan teknologi penting, mengapa pula peruntukan kepada universiti-universiti dipotong di dalam bajet sekiranya ada duit untuk melabur di syarikat teknologi tinggi di AS?

Bukankah lebih baik memberi peluang kepada rakyat sendiri untuk membina syarikat teknologi tinggi sendiri.

e. Malaysia akan berhenti berurusan dengan Korea Utara.

Komen: Apa urusan yang ada antara Malaysia dengan Korea Utara selama ini?

f. Malaysia akan membanteras kumpulan pengganas.

Komen: Apakah Amerika memberi komitmen menghentikan keganasan di Rohingya? Mengapa Presiden AS Trump langsung tidak menyentuh isu ini secara terbuka di dalam pertemuan dengan Perdana Menteri?

Apakah Najib turut mendesak Trump agar tidak menyokong Israel yang menjadi pengganas di Palestine?

Sebelum PM berlepas ke AS, ada media melaporkan perbincangan untuk kelepasan visa untuk rakyat Malaysia ke AS akan dibincang. Namun perkara ini nampaknya tidak juga disentuh.

Jadi, selain daripada publisiti negatif daripada media seluruh dunia, rakyat dan PAS masih tertanya-tanya, apakah yang Malaysia dapat daripada lawatan ke Amerika Syarikat ini?

Diharap mereka yang sanggup hadir di KLIA untuk menyambut kepulangan PM dapat mendesak beliau untuk mendapatkan jawapan.


DATUK TUAN IBRAHIM TUAN MAN adalah Timbalan Presiden PAS.

Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS