Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Najib: AS mungkin akan bantu Rohingya
Diterbitkan:  Sep 14, 2017 11:41 AM
Dikemaskini: 3:48 AM


Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengesahkan isu penderitaan etnik Rohingya telah dibangkitkan ketika pertemuannya dengan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump.

Berucap di Pusat Kajian Antarabangsa dan Strategik di Washington semalam, Najib berkata beliau memang sudah lama menyuarakan kebimbangannya terhadap isu itu.

Katanya, ramai pihak yang menyifatkan penindasan terhadap golongan Rohingya boleh dianggap sebagai 'pembersihan etnik' atau genosida.

"Saya berjanji kepada rakyat Malaysia yang saya akan menyuarakannya kepada Presiden Trump - dan saya telah lakukannya.

"Suka saya nyatakan yang beliau berkongsi kebimbangan saya dan itulah sebabnya mengapa krisis kemanusiaan ini akan disentuh dalam kenyataan bersama kami," katanya.

Walaupun mengakui yang beliau tidak boleh menyatakan secara khusus pelan tindakan kerajaan AS, Najib berkata kini "ada kemungkinan jelas yang mereka akan turut memberikan bantuan kemanusian kepada mangsa penindasan yang kini terdesak dan tidak lagi mampu diabaikan masyarakat dunia".

Najib yakin masyarakat antarabangsa sama-sama terkejut dengan siri keganasan yang terbaru itu, yang juga berpotensi meradikalisasi golongan muda Rohingya yang berang dengan tindakan kerajaan terhadap mereka.

Dalam kenyataan bersama Malaysia-AS, Najib dan Trump menggesa keganasan terhadap orang awam ditamatkan dan keperluan masyarakat antarabangsa memberikan respon berhubung ratusan ribu yang menjadi mangsa dan kehilangan tempat tinggal.

"Kedua-dua pihak menggesa kerajaan Myanmar untuk menamatkan keganasan terhadap mereka yang tidak bersalah dan memberi jaminan bantuan kemanusiaan dapat sampai kepada mangsa dengan segera," kata kenyataan bersama itu.

Selepas Konflik di wilayah bergolak Rakhine kembali tegang bulan lalu, ratusan ribu etnik Rohingya melarikan diri ke Bangladesh untuk mengelakkan serangan daripada pihak tentera.

Lihat Komen
ADS