Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
BERSIH: Mahkamah putuskan dua wakil DAP tak bersalah
Diterbitkan:  Sep 14, 2017 1:01 PM
Dikemaskini: 5:03 AM

Mahkamah Sesyen Kuching hari ini memutuskan bahawa dua anggota Parlimen DAP Chong Chieng Jen (Bandar Kuching) dan Julian Tan (Stampin) tidak bersalah terhadap tuduhan terlibat dalam perhimpunan aman BERSIH 4.0 dua tahun lalu.

Hakim Steve Ritikos dalam penghakimannya berkata pihak pendakwaan gagal membuktikan bahawa kedua-dua tertuduh bersalah terlibat dalam demonstrasi jalan.

Katanya berdasarkan keterangan-keterangan yang dikemukakan mahkamah, mendapati kedua-dua tertuduh hanya berkumpul di hadapan Kuching Hilton, di mana mereka meletakkan kenderaan masing-masing dan kemudian berjalan ke Padang Song Kheng Hai, iaitu lokasi yang diluluskan untuk menyertai perhimpunan BERSIH 4.0.

Oleh sebab itu, beliau berkata kedua-dua tertuduh tidak boleh disabit dengan kesalahan terbabit dalam demonsatrasi jalanan secara haram.

Chong yang juga pengerusi DAP Sarawak dan ADUN Padungan dan Tan didakwa di bawah Akta Perhimpunan Aman (PAA) 2012) kerana menyertai perhimpunan BERSIH 4.0 pada 29 Ogos 2015.

Jika disabit kesalahan, tertuduh boleh didenda sehingga RM10,000 dan diharamkan daripada bertanding dalam pilihan raya untuk tempoh lima tahun sekiranya mereka didenda melebihi RM2,000.

Mahkamah membuat keputusannya hari ini setelah pihak pendakwaan selesai memanggil semua tujuh saksinya untuk memberi keterangan kepada mahkamah.

Pihak pendakwaan bagaimanapun diberi tempoh 14 hari jika mahu mengemukakan rayuan.

Lihat Komen
ADS