Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
JAWI diarah bantu urus jenazah pelajar, guru tahfiz
Diterbitkan:  Sep 14, 2017 2:49 PM
Dikemaskini: 6:52 AM

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom sudah mengarahkan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) untuk membantu menguruskan jenazah pelajar dan guru yang terkorban dalam kejadian kebakaran di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Kuala Lumpur awal pagi tadi.

Ketika ditemui pemberita selepas merasmikan program Dialog Antara Penganut Agama di Universiti Malaysia Sabah di sini hari ini, Jamil Khir berkata beliau perlukan maklumat lanjut mengenai kejadian itu sebelum mengambil sebarang tindakan termasuk memperbaiki apa-apa kelemahan yang timbul.

“Saya juga mengucapkan takziah kepada keluarga (pelajar dan warden yang terkorban) dan melahirkan rasa dukacita yang amat mendalam dengan kejadian kebakaran ini," katanya.

Sejurus merasmikan program anjuran Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) itu, beliau bergegas untuk kembali ke ibu negara bagi melawat pusat tahfiz berkenaan, meskipun masih mempunyai satu lagi program yang perlu dihadiri di Kota Kinabalu.

Setakat 10.30 pagi tadi, kebakaran yang berlaku kira-kira 5.15 pagi itu mengorbankan 22 pelajar dan dua guru.

- Bernama

Lihat Komen
ADS