‘Jangan mudah percaya derma kilat’

   

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki menasihatkan orang ramai agar tidak mudah percaya terhadap kutipan derma kilat berkaitan kebakaran pusat tahfiz di Jalan Taman Datuk Keramat pagi tadi.

Menurut Asyraf, beliau tidak mahu ada pihak mengambil kesempatan di atas tragedi berkenaan berikutan derma kilat yang viral di laman sosial ketika ini

"Saya juga minta orang ramai tidak mudah percaya derma kilat yang sedang viral di laman sosial sekarang ini.

"Kita tidak mahu pihak mahu ada pihak ambil kesempatan atas tragedi ini, orang ramai boleh hubungi pihak berkuasa memaklumkan sebarang viral berkenaan," katanya lapor Berita Harian Online.

Selain itu, Asyraf turut meminta agar gambar atau video mangsa rentung tidak diviralkan bagi menghormati keluarga mangsa.

Beliau berkata semua pihak perlu menghormati perasaan keluarga yang sedang bersedih dengan tragedi berkenaan.

Pesanan sama turut disampaikan Bendahari Agung MIC Datuk Seri S Vell Paari yang meminta rakyat Malaysia agar tidak menyebarkan gambar mayat mangsa dalam kejadian kebakaran di pusat tahfiz tersebut.

Menurut Vell Paari, orang ramai perlu mempunyai rasa belas kasihan terhadap keluarga mangsa apabila gambar-gambar mayat berkenaan disiarkan di media sosial.

“Saya ingin menyeru kepada seluruh rakyat Malaysia supaya berhenti berkongsi imej mangsa-mangsa yang masih muda ini di media sosial terutamanya badan dan mayat mereka yang hangus.

“Tolong ada rasa belas kasihan terhadap keluarga mereka apabila gambar-gambar seperti ini disiarkan di media sosial. Ia tak betul,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Selain mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa, Vell Paari turut meminta agar Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) serta Jabatan Bomba dan Penyelamat mengenal pasti sekolah agama yang tidak mematuhi keperluan keselamatan.

“Bantu mereka dan minta mereka mematuhi piawaian keselamatan supaya insiden seperti ini tidak akan berlaku lagi,” katanya.

Pada pagi ini, lebih 20 orang- kebanyakannya pelajar terbunuh dalam kebakaran di pusat tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Jalan Datuk Keramat.

Kejadian itu dipercayai berlaku antara kira-kira jam 5.10 pagi di tingkat dua sekolah berkenaan.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Amar Singh Ishar Singh berkata jasad ditemui di dua kawasan berasingan di tingkat yang menempatkan 36 pelajar, di bangunan tiga tingkat itu.

Amar Singh juga berkata, pusat tersebut hanya mempunyai satu pintu keluar masuk dan menyebabkan sebahagian penghuni terperangkap serta gagal menyelamatkan diri.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur pula berkata, kebakaran pusat tahfiz itu dipercayai berpunca daripada litar pintas.

Komen

PERINGATAN:
Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Malaysiakini
terkini untuk anda