Mahkamah Tinggi di George Town hari ini membenarkan permohonan injunksi syarikat Consortium Zenith BUCG Sdn Bhd bagi melarang Naib Presiden Parti Cinta Malaysia (PCM) Datuk Huan Cheng Guan daripada mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung projek terowong dasar laut.

Hakim Datuk Rosilah Yop membuat keputusan itu di dalam kamar di hadapan peguam Datuk Baljit Singh yang mewakili Huan dan peguam Tengku Haris Tengku Rostam, mewakili Consortium Zenith BUCG.

Baljit ketika di luar mahkamah memberitahu pemberita bahawa mahkamah membenarkan permohonan syarikat berkenan selaku plaintif selepas mendapati ia bersesuaian dengan permohonan syarikat Consortium Zenith BUCG.

"Mahkamah benarkan permohonan plaintif, tetapi dalam klarifikasi yang diberikan oleh mahkamah beliau menyatakan ini hanyalah terhadap plaintif , Consortium Zenith BUCG Sdn Bhd, injunksi terhadap Datuk (Huan) tidak ada kena mengena dengan Consortium Zenith Construction Sdn Bhd.

"Oleh itu injunksi ini mengikut pandangan kami terhadap satu syarikat yang tidak wujud lagi dan mejar (Huan) akan terus berbincang mengenai isu terhadap Consortium Construction Sdn Bhd, tetapi bukan terhadap Consortium Zenith BUCG Sdn Bhd," katanya.

Baljit berkata anak guamnya akan terus mempertahan isu-isu yang mempunyai kepentingan dengan rakyat Pulau Pinang.

Pada masa sama Baljit berkata mahkamah turut membenarkan permohonan Consortium Zenith BUCG untuk membatalkan tuntutan balas Huan terhadap syarikat berkenaan.

Baljit berkata pihaknya menghormati keputusan mahkamah dan akan memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan, Putrajaya dalam tempoh terdekat.

Mahkamah kemudian menetapkan 5 hingga 7 Mac tahun depan untuk perbicaraan kes saman tersebut.

Consortium Zenith, syarikat yang diberi kepercayaan membina terowong bernilai RM6.34 bilion itu, memfailkan saman terhadap Huan dan syarikat penerbitan media Utusan Melayu (M) Bhd pada 11 Ogos 2016 kerana didakwa menyebarkan tuduhan palsu terhadap syarikat itu selain memfailkan injunksi bagi melarang Huan daripada mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung projek itu.

Bagaimanapun pada September tahun lepas, syarikat itu menukar namanya kepada Consortium Zenith Construction Sdn Bhd selepas menggugurkan Beijing Urban Construction Group (BUCG) daripada projek pembinaan terowong dasar laut dan tiga jalan utama di negeri ini ekoran kejadian kren jatuh di Jalan Raja Chulan, Kuala Lumpur yang menghempap Chim Khoo Sing, 24, dan menyebabkan wanita dari Pulau Pinang itu maut Ogos tahun lepas.

Consortium Zenith dianugerah projek itu menerusi proses tender. Consortium Zenith adalah usaha sama antara Zenith Construction Sdn Bhd, China Railway Construction Co Ltd, Beijing Urban Construction Group, Sri Tinggi Sdn Bhd dan Juteras Sdn Bhd.

- Bernama