Warden pusat tahfiz maut dua minggu lepas naik pelamin
Kebakaran di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di ibu negara pagi ini turut meragut nyawa seorang warden yang baru saja menaiki pelamin dua minggu lalu.
Allahyarham Mohd Amirul Nizam Sukarno, 25 yang baru sahaja bertugas di pusat tahfiz awal tahun ini bernikah Mei lalu dan baru sahaja mengadakan majlis persandingan awal bulan ini.
"Baru sahaja hadir ke majlis persandingannya bulan lalu, tidak sangka itulah majlis terakhirnya.
"Isteri mangsa masih menuntut di salah sebuah universiti dan masih trauma sejurus menerima berita itu,” kata ibu saudara mangsa, Asmah Yaacob, 50 kepada pemberita di tapak insiden itu hari ini.
Asmah turut menyifatkan Allahyarham seorang yang baik dan sangat menghormati orang tua.
Katanya lagi, isteri Mohd Amirul kini masih menuntut di sebuah universiti serta trauma apabila menerima khabar duka itu.
Ketika ditemui pemberita, Asmah kelihatan sedang menenangkan isteri Mohd Amirul yang tidak dapat mengawal emosi.
Selamatkan bayi
Kejadian kebakaran itu berlaku pada jam 5.30 pagi dan kebanyakan pelajar yang berusia antara 13 hingga 17 tahun sedang tidur ketika api mula marak di bangunan tiga tingkat pusat tahfiz itu.
Tragedi itu meragut sekurang-kurangnya 24 nyawa yang melibatkan 22 pelajar tahfiz dan dua guru tahfiz.
Sementara itu, seorang mangsa yang terselamat sempat menceritakan detik cemas menyelamatkan seorang bayi.
Menurut Muhammad Ihsan Husin, 16, beliau bersama lima rakannya yang lain berjaya mengeluarkan seorang bayi yang merupakan anak kepada seorang penyelia di pusat tahfiz itu yang dikenali sebagai Ustaz Azahari.
"Pintu nak keluar asrama dah terbakar (ketika saya sedar) saya nampak dia orang sedang cabut gril di pintu.
"Ketika di bawah saya lihat keadaan orang sudah bising. Isteri ustaz jerit cakap 'tolong ada bayi'.
"Saya dan kawan-kawan tolong selamatkan bayi itu yang berada di tingkat atas yang terbakar," katanya ketika ditemui di tempat kejadian di sini.

