Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
KWSP: Keputusan pelaburan di AS ikut proses
Diterbitkan:  Sep 15, 2017 12:50 PM
Dikemaskini: 4:54 AM

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) hari ini meyakinkan bahawa keputusannya untuk melabur di Amerika Syarikat dibuat mengikut proses yang wajar dan diputuskan oleh pihak berkepentingan.

Dalam satu kenyataan, KWSP berkata sebarang keputusan pelaburan dibincangkan terlebih dahulu oleh jawatankuasa pengurusan pelaburan.

"Proses ini akan meneliti sebarang cadangan pelaburan selaras dengan strategi kepelbagaian jangka panjang.

"Ini juga selaras dengan mandat KWSP untuk meningkatkan simpanan persaraan ahli dengan melabur hanya dalam aset yang memenuhi profil pulangan risikonya," katanya.

Selepas melalui jawatankuasa itu, KWSP berkata kelulusan akhir akan diperolehi daripada panel pelaburan yang terdiri daripada anggota pengurusannya, Bank Negara Malaysia, profesional industri dan kerajaan.

"Sebagai badan berkanun, KWSP ditadbir urus oleh Lembaga KWSP, yang mana ahlinya terdiri daripada wakil-wakil pekerja, majikan profesional industri dan kerajaan.

"Pihak lembaga akan memastikan KWSP menjalankan tanggungjawabnya untuk memelihara kepentingan 14 juta ahlinya," katanya.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak semasa pertemuannya dengan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump Selasa lalu mengumumkan bahawa KWSP akan meningkatkan pelaburan di Amerika Syarikat antara AS$ 3 bilion dan AS$ 4 bilion "bagi membantu pembangunan infrastruktur (AS)."

Beliau juga berkata Malaysia mahu membantu dalam memperkukuhkan ekonomi AS.

Pengkritik bagaimanapun berpendapat jumlah pelaburan, termasuk perjanjian berasingan untuk membeli pesawat penumpang dan enjin pesawat bernilai AS$ 10 bilion dan AS$ 20 bilion adalah lebih baik dibelanjakan untuk projek infrastruktur tempatan.

Lihat Komen
ADS