Pelaburan Khazanah Nasional Bhd di Amerika Syarikat (AS) selari dengan mandat cabang pelaburan strategik kerajaan itu untuk mewujudkan nilai jangka panjang bagi Malaysia menerusi pelbagai sektor dan geografi.

Khazanah dalam satu kenyataan hari ini berkata, setakat ini sebanyak 15 pelaburan bernilai kira-kira AS$410 juta (RM1.72 bilion pada kadar semasa) di Amerika Syarikat, terutama dalam sektor teknologi.

“Pelaburan kami di Amerika Syarikat mewakili 1.3 peratus daripada nilai aset portfolio kami yang direalisasi sebanyak RM145.3 bilion pada 31 Disember 2016," katanya.

Khazanah berkata ia mempraktikkan proses yang ketat ke atas penilaian cadangan-cadangan pelaburan, yang melibatkan pemerhatian terperinci dan pelbagai pintu pelaburan sebelum menyerahkannya kepada Lembaga Pengarah untuk dipertimbangkan dan diluluskan.

“Secara keseluruhannya, pewujudan nilai jangka panjang daripada portfolio pelaburan kami kekal mantap, dengan portfolio bersih diselaraskan telah meningkat sebanyak 3.1 kali, atau meningkat pada kadar pertumbuhan tahunan sebanyak 9.3 peratus setahun untuk tempoh dari Mei 2004 hingga 31 Disember 2016," katanya.

Untuk masa hadapan, Khazanah berkata ia akan terus meneroka peluang pelaburan di Amerika Syarikat, dengan tumpuan khususnya dalam sektor inovasi dan teknologi menerusi anak syarikatnya, Khazanah Americas Incorporated, yang diperbadankan pada 2013 di San Francisco.

Pejabat San Francisco merupakan salah satu daripada lima pejabat Khazanah di luar negara.

Empat lagi masing-masing di Beijing, Mumbai, Istanbul dan London.

-Bernama