Solat jenazah ke atas semua 23 mangsa kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah dijangka dilangsungkan di Masjid Hospital Kuala Lumpur (HKL) sebaik sahaja proses padanan DNA selesai hari ini.
Menurut sumber HKL, persiapan kini berlangsung bagi membolehkan pengurusan jenazah berjalan lancar termasuk membawa jenazah ke tanah perkuburan selepas proses DNA untuk pengesahan identiti mangsa selesai di hospital itu, dijangka petang ini.
Sumber itu berkata semua jenazah mangsa akan dimandikan di Institut Perubatan Forensik Negara (IPFN) menggunakan kaedah tayamum dan dikafankan sebelum diserahkan kepada keluarga masing-masing.
Sementara itu kesemua 23 van jenazah yang akan membawa jenazah mangsa ke lokasi pengebumian telah tiba di perkarangan IPFN.
Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata 12 daripada 23 mangsa kebakaran akan disemadikan di Tanah Perkuburan Raudhatul Sakinah, Taman Batu Muda, di ibunegara.
Dalam kejadian 5.15 pagi semalam, 21 pelajar dan dua guru maut dalam kebakaran yang memusnahkan seluruh tingkat paling atas bangunan pusat tahfiz tiga tingkat di Jalan Keramat Hujung berkenaan.
Enam pelajar lain dan seorang awam turut cedera.
Sementara itu, Jamil Khir berkata kesemua 12 jenazah itu akan disemadikan selewat-lewatnya hari ini.
"Bagaimanapun, kita menunggu keputusan proses pengecaman mayat mangsa yang dijangka selesai pada 3.30 petang ini.
"Sekiranya keputusan dikeluarkan awal, kita akan segerakan proses pengebumian jenazah berkenaan," katanya kepada pemberita selepas meninjau keadaan di pusat tahfiz itu.
Jamil Khir berkata jenazah yang lain akan dikebumikan di tanah perkuburan berdasarkan keputusan keluarga masing-masing.
"Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) menyediakan enam pasukan khas untuk tujuan pengurusan jenazah kesemua 23 mangsa kebakaran itu. Hanya tunggu keputusan 'pengecaman identiti mangsa ‘(DVI)," katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata baki jenazah yang terkorban dalam tragedi, yang dianggap terburuk dekad ini, akan dikebumikan selewat-lewatnya hari ini.
"Pada 8.30 pagi tadi, saya telah mempengerusikan mesyuarat antara JAWI dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan mengenai pengurusan jenazah. Kami juga sudah menghubungi majlis agama negeri di Perak dan Kelantan," katanya.
Mengiringi Jamil Khir ialah Timbalan Menteri di Jabatan Menteri Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia Tan Sri Othman Mustapha.
Sementara itu, JAWI dalam satu kenyataan berkata empat jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Jalan Ampang dan masing-masing satu jenazah di tanah perkuburan di Taman Kosas, Dato’ Keramat, Taman Medan, Jalan Klang Lama dan Bukit Kuari, Cheras.
Tiga lagi jenazah, masing-masing akan dikebumikan di tanah perkuburan di Paroi Jaya, Seremban (Negeri Sembilan), Pengkalan Kubur (Kelantan) dan Sungkai (Perak).
Dalam pada itu, sepasukan anggota forensik polis dan bomba masih menjalankan kerja penyiasatan di lokasi bagi mengenal pasti punca kebakaran termasuk kerja pengukuran terhadap elemen objek di tingkat 3 bangunan tahfiz itu.
Dua puluh satu pelajar dan dua warden yang juga guru terkorban dalam kebakaran di pusat tahfiz itu awal pagi semalam.
- Bernama
