Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Keputusan Najib labur KWSP bertentangan peraturan kementerian'
Diterbitkan:  Sep 15, 2017 3:46 PM
Dikemaskini: 7:53 AM

Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli berkata pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bahawa Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan meningkatkan pelaburan di Amerika Syarikat, bertentangan dengan peraturan kementeriannya sendiri.

"Apa yang beliau tidak sedar ialah pengumuman itu bertentangan dengan peraturan yang ditetapkan oleh kementerian kewangan yang menghadkan pelaburan luar negara KWSP kepada 30 peratus sahaja daripada jumlah pelaburan keseluruhan," kata Rafizi dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya menurut Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) KWSP, Datuk Shahril Ridza Ridzuan, KWSP hampir mencapai had maksima 30 peratus pelaburan luar negara yang ditetapkan kementerian kewangan setakat Februari 2017.

KWSP juga dilaporkan mendedahkan bahawa pelaburan di luar negara menyumbang 29 peratus daripada jumlah aset pelaburannya.

"Saya tidak perlu menyebut kebodohan tahap maksima yang ditunjukkan oleh Datuk Seri Najib sebagai menteri kewangan yang bukan sahaja tidak menjalankan tugas seperti yang sepatutnya (dalam mendapatkan status QFPF bagi pihak KWSP), tetapi mengumumkan kepada dunia pelaburan tambahan KWSP di Amerika Syarikat yang melanggar peraturan yang ditetapkan kementerian beliau sendiri," kata Rafizi.

Semasa pertemuannya dengan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump pada Selasa, Najib mengumumkan bahawa KWSP akan meningkatkan pelaburan di Amerika Syarikat antara US AS$3 bilion dan AS$ 4 bilion bagi "membantu pembangunan infrastruktur di Amerika Syarikat".

Perdana menteri berkata, Malaysia juga mahu membantu dalam memperkukuh ekonomi AS.

Pengkritik bagaimanapun berkata jumlah pelaburan termasuk perjanjian berasingan untuk membeli pesawat penumpang bernilai antara AS $ 10 bilion dan AS $ 20 bilion, adalah lebih baik dibelanjakan untuk projek-projek infrastruktur tempatan.

Lihat Komen
ADS