Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita
Azmin: Kita tarik pelabur, tapi PM bawa wang ke AS

Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata beliau pelik dengan keputusan ekonomi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang mahu mempertingkatkan pelaburan Malaysia di Amerika Syarikat (AS).

Di Selangor, kata menteri besar, kerajaan negeri cuma sedaya upaya menarik pelabur asing ke Malaysia, bukan sebaliknya.

"Pagi tadi sebelum saya datang ke Kampung Melayu Subang, pelabur-pelabur dari Amerika Syarikat menyatakan kepada saya mereka akan meletakkan pelaburan yang besar yang akan kita akan kita umumkan dalam tempoh dua atau tiga minggu akan datang di Subang dan juga di Klang.

"Ini bezanya Selangor dengan kerajaan yang lain, Selangor pelabur datang ke Selangor tetapi ada sebuah kerajaan dia bawa duit kerajaan dia ke Amerika Syarikat, faham atau tak faham orang Subang," kata Azmin disambut tepukan hadirin.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Jamuan Rakyat bersama Menteri Besar di Subang hari ini.

Semasa pertemuannya dengan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump pada Selasa, Najib mengumumkan KWSP akan meningkatkan pelaburan di negara itu antara AS$3 bilion dan AS$4 bilion.

Perdana menteri berkata, Malaysia mahu membantu memperkukuh ekonomi AS.

Mengulas lanjut, Azmin yang juga Timbalan Presiden PKR berkata beliau kesal apabila Najib menggunakan wang pencen pesara yang sepatutnya digunakan untuk masa depan mereka.

"Duit pencen yang sepatutnya memberikan jaminan kepada pesara-pesara supaya masa depan mereka lebih terjamin, sekarang wang itu digunakan kononnya untuk membangunkan infrastruktur di negara orang lain.

"Saya bukan marah tapi saya pelik, infrastruktur kita pun belum terbangun lagi, lihat saja di Sabah dan Sarawak. Sekarang ini nak bangunkan ECRL pun bawa orang China datang ke Malaysia tiba-tiba minggu lepas duit kita diberi kepada Amerika," kata Azmin.

Selangor macam Chicago

Menurut Azmin, pemimpin yang tidak memiliki integriti, sanggup sujud kepada kuasa-kuasa besar.

"Tetapi kita bersyukur kerajaan Selangor hari ini kuat dan gagah kerana kita ada maruah, kita ada integriti dan kita mahu angkat maruah rakyat negeri Selangor pada hari ini," tegas Azmin.

Mengambil contoh apa yang berlaku di Selangor, Azmin turut menyatakan rasa bangganya apabila negeri itu kini menjadi tumpuan pelabur, termasuk kemasukan pusat beli belah perabot terkemuka, IKEA.

"Maknanya dengan taraf Selangor sekarang sama dengan Chicago dan Jerman," katanya.

Jelasnya, Jabatan statistik Malaysia baru-baru ini mengeluarkan laporan terkini bahawa Selangor masih menajdi penyumbang terbesar kepada ekonomi negara.

"Tahun 2015 kita sumbang 22.6 peratus, tahun 2016 kita menyumbang 22.7 peratus hampir RM300 bilion rakyat Selangor sumbang kepada Putrajaya.

"Maknanya, orang Pekan seluk poket dia ambil RM 1, 30 sen adalah dari rakyat negeri Selangor. Hebat tak hebat?" Soal Azmin.

Lihat Komen
ADS