Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengingatkan kepimpinan negeri Selangor agar tidak menggunakan kedudukan mahupun kuasa mereka bagi mengumpul aset kekayaan khususnya harta tanah.

"Kita pernah dengar sebelum ini, pimpinan parti politik bukan dapat sebidang tanah tetapi berpuluh ekar, itu realitinya yang tak ada mana-mana pihak boleh menafikan

"Tetapi hari ini saya nak nyatakan dengan tegas dan saya berani di depan semua rakyat Selangor bahawa pemimpin tidak boleh dan tidak berhak mendapat sebarang tanah dalam negeri Selangor ini kerana ini adalah hak rakyat," tegas Azmin.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Jamuan Rakyat bersama Menteri Besar sempena penyampaian surat kelulusan bagi mendapatkan geran untuk tanah di Kampung Melayu Subang Tambahan, di Masjid Taman Subang Perdana, Subang, hari ini.

Azmin yang juga anggota Parlimen Gombak berkata amaran itu dibuat ekoran kesukaran rakyat di negeri itu mendapatkan kelulusan hak milik tanah yang didiami sejak lebih dua dekad lalu.

"Seperti yang dinyatakan tadi sekian lama penduduk di Kampung Melayu Subang Tambahan ini menanti.

“Malahan mereka sekolah-olah sedang mengemis sesuatu yang saya tegaskan sebelum ini tanah ini adalah hal mereka tak perlu diminta sepatutnya.

"Sebagai sebuah kerajaan tanah ini mesti diserah kepada rakyat dan saya rasa terkilan kerana mereka menunggu lebih dekad hanya semata-mata untuk mendapat sebidang tanah," kata Azmin.

Anggota Dewan Undangan Selangor (ADUN) Bukit Antarabangsa juga mendakwa pentadbiran terdahulu bawah BN sewenang-wenangnya memberikan kelulusan hak milik tanah kepada "tauke" besar.

"Pentadbiran sebelum ini kalau 'tauke-tauke' minta cepat saja diluluskan tapi bila rakyat minta sukar diluluskan.

"Tetapi kerajaan yang ada pada hari ini saya memberi jaminan bahawa setiap minggu dalam mesyuarat MKN antara agenda yang kita beri keutamaan ialah meluluskan sebanyak mungkin, semua permohonan daripada rakyat untuk mendapatkan geran.

"Kalau ada permohonan daripada menteri besar mesti ditolak, hukumnya wajib. Kalau ada permohonan daripada wakil rakyat dua kali wajib ditolak," tegas Azmin.

Penantian dua dekad 64 penduduk Kampung Melayu Subang Tambahan berakhir hari ini selepas kerajaan negeri bersetuju menyerahkan Notis 5A.

Notis 5A merupakan pemakluman kepada pemohon agar datang ke Pejabat Tanah Selangor untuk membayar segala bayaran-bayaran termasuk premium tanah yang telah dikenakan.

Lihat Komen
ADS