Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Memerangi musuh pasca moden cabaran baru ATM
Diterbitkan:  Sep 16, 2017 6:11 AM
Dikemaskini: 10:38 PM

Memerangi musuh tidak nyata dalam pasca moden hari ini merupakan cabaran utama Angkatan Tentera Malaysia (ATM), kata Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor.

Beliau berkata sejak 84 tahun penubuhannya, ATM telah melalui pelbagai cabaran seperti Perang Dunia kedua, komunis dan insurgensi manakala cabaran terbaharu adalah ancaman pengganas.

"Dalam pasca moden hari ini, ATM berdepan musuh yang berbeza, dahulu kita boleh nampak musuh dan nyata, berbaju hijau bintang lima (lima bucu) mereka itu musuh.

“Sekarang kelihatan musuh itu sudah berbeza, tidak lagi acukan senjata seperti dulu tapi mereka mengancam keselamatan negara dalam bentuk yang lain,” katanya kepada pemberita dalam temu ramah khas di Wisma Perwira baru-baru ini sempena ulang tahun ke-84 ATM hari ini.

Raja Mohamed Affandi berkata sebagai PAT ke-19, beliau bangga dengan pancapaian ATM yang banyak berjasa kepada negara dan dihormati di peringkat antarabangsa.

Beliau berkata sebagai perancangan masa depan, ATM melalui Tranformasi Nasional 50 Pertahanan (TN50D) telah menetapkan lima teras utamanya iaitu kesiapsiagaan aset ATM, keselamatan negara, kebajikan anggota dan veteran tentera, diplomasi pertahanan dan transformasi Pusat Latihan Khidmat Negara (PLKN).

Beliau berkata ATM kini memperkemaskan Tentera Darat Malaysia (TDM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) melalui beberapa pendekatan baharu.

Antaranya, beliau berkata Armada TLDM dipecahkan kepada pemerintahan Armada Barat dan Timur selain pembelian aset baharu termasuk empat buah kapal misi pesisir (LMS) selaras dengan keperluan semasa khasnya di perairan Sabah selain Laut China Selatan.

Selain itu, beliau berkata untuk memantapkan lagi pengurusan TUDM, kemudahan prasarana serba moden dibangunkan di Pangkalan Udara Sendayan, Negeri Sembilan bagi menggantikan Pangkalan Udara Kuala Lumpur.

Pangkalan udara di kawasan seluas 303.5 hektar, yang kini dalam peringkat akhir pembinaannya, bakal menjadi pusat latihan profesional terbesar negara untuk pegawai dan anggota TUDM dengan 693 unit kuarters yang dibina di kawasan itu.

Terbaru, katanya, pembelian empat pesawat A400M yang merupakan antara aset penting dalam memantapkan pertahanan udara negara.

Pesawat A400M itu mempunyai jangkauan operasi yang lebih jauh serta berkeupayaan untuk mengangkut jumlah kargo yang lebih besar berbanding pesawat C-130 Hercules yang dimiliki TUDM ketika ini.

Pesawat buatan syarikat Airbus Defence itu berkemampuan membawa bebanan 20 tan sejauh 3,400 batu nautika tanpa keperluan mengisi minyak serta pada ketinggian 37,000 kaki dan kelajuan 0.72 Mach.

Sementara itu, katanya, TDM juga sedang membina empat kem baharu iaitu di Hutan Melintang di Perak, Bera di Pahang serta Segamat dan Pagoh di Johor yang dijangka siap akhir tahun ini.

Menyentuh tentang sambutan hari ulang tahun ATM ke-84, beliau berkata ia akan diadakan di Kem Perdana Sungai Besi pada 25 September ini kerana 16 September adalah sambutan Hari Malaysia.

- Bernama
 

Lihat Komen
ADS