Paras air di beberapa empangan utama seluruh Kedah berada dalam keadaan terkawal walaupun hujan berterusan sejak awal pagi semalam di kawasan utara semenanjung Malaysia.

Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), dalam kenyataannya malam tadi, berkata paras air di Empangan Pedu kini berada pada paras 92.93 meter (75.59%), Empangan Muda pada paras 98.51 meter (78.80%) dan Empangan Ahning dicatatkan pada paras 105.24 meter (69.66%).

"Sehingga jam 7.00 malam tadi, tiada kejadian banjir yang serius dilaporkan di Kawasan Muda. Walau bagaimanapun pihak MADA telah mengambil tindakan awalan menyalurkan semua lebihan air ke laut dengan membuka semua pintu-pintu kawalan pasang surut," menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu dikeluarkan susulan penyebaran maklumat melalui aplikasi Whatsapp bahawa Empangan Pedu telah berada pada paras bahaya semalam.

MADA turut menjalankan pemantauan berterusan bagi membolehkan tindakan segera diambil untuk menguruskan lebihan air.

Banjir kilat

Banjir kilat yang melanda negeri Kedah sejak dua hari lalu kini terkawal dengan sebahagian mangsa telah dibenarkan pulang dan dua pusat pemindahan ditutup.

Di KUALA MUDA, dua pusat pemindahan yang dibuka semalam, iaitu di Surau Kampung Tengah dan Dewan Kampung Tengah, menempatkan keseluruhan 214 mangsa daripada 49 keluarga, ditutup sepenuhnya pada 8 pagi ini.

Menurut kenyataan Sekretariat Jabatan Pengurusan Bencana Negeri, kesemua mangsa telah dibenarkan pulang untuk membersihkan rumah masing-masing apabila air semakin surut pada awal pagi ini.

Di BANDAR BAHARU, satu pusat pemindahan baharu dibuka pada 7 pagi tadi iaitu di Sekolah Kebangsaan (SK) Kechil Ulu bagi menempatkan 106 mangsa daripada 26 keluarga.

Sementara itu, jumlah mangsa yang ditempatkan di SK Bandar Baharu pula meningkat kepada 88 orang berbanding 74 semalam manakala di Dewan Kampung Majidee kekal 10 mangsa.

Di BALING, sebanyak 38 buah rumah di tujuh kampung terjejas apabila air Sungai Ketil dan Sungai Kemangi melimpahi tebing susulan hujan lebat selama dua jam bermula 8 malam semalam.

Pegawai Kebajikan Masyarakat daerah itu Shamsul Izrin Isahak berkata ia melibatkan keseluruhan 109 penduduk namun namun tiada pusat pemindahan rasmi dibuka setakat ini.

"Antara kampung yang terjejas ialah Kampung Kemangi (4 orang), Kampung Tengah Ulu Tawar (6), Kampung Badang (8), Kampung Gelugor (10) dan Kampung Tanjung (4)," katanya.

Mangsa banjir di Langkawi

Sementara jumlah mangsa banjir di Langkawi meningkat kepada 173 orang sehingga 11 pagi ini, apabila sembilan lagi mangsa didaftarkan di Pusat Pemindahan Dewan Kampung Raja di Langkawi.

Berdasarkan maklumat Bilik Gerakan Pengurusan Bencana Daerah Langkawi, mangsa banjir itu merupakan penduduk dari 13 kampung di mukim-mukim Kedawang dan Padang Matsirat.

Sementara itu, paras air di Sungai Kuala Melaka dilaporkan menurun ke 3.83 meter berbanding 4.02 meter yang dicatatkan pada 8 malam tadi.

Bagaimanapun catatan ini masih lagi melepasi paras bahaya iaitu 3.40 meter.

Jabatan Meteorologi meramalkan beberapa tempat di pulau ini akan mengalami hujan pada sebelah petang ini namun akan reda pada sebelah malam.

- Bernama