Tiada laporan rakyat M'sia antara mangsa serangan di London
Setakat ini tiada rakyat Malaysia dilaporkan antara mangsa dalam kejadian letupan di stesen kereta api Parson Green di London yang mencederakan 22 orang pada hari Jumaat.
Dalam satu kenyataan hari ini, Wisma Putra berkata Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya kejadian itu yang disifatkan sebagai serangan pengecut.
“Kementerian sedang memantau rapi situasi ini dan Suruhanjaya Tinggi Malaysia di London sentiasa berhubung dengan pihak berkuasa tempatan,” demikian menurut kenyatan itu.
Wisma Putra turut menasihati rakyat Malaysia berhubung dengan suruhanjaya tinggi di alamat 52, Bedford Row, London WC1RL, atau melalui telefon +44 (0) 2072424308 atau e-mel mwlondon.kln@1govuc.gov.my untuk pertanyaan lanjut.
Polis London mengisytiharkan letupan pada Jumaat itu sebagai ‘angkara pengganas’.
Dilaporkan kejadian 8.20 pagi waktu tempatan itu berpunca daripada alat letupan diubah suai (IED).
Kejadian itu menyusuli beberapa serangan maut di London tahun ini - Jambatan Westminster, Jambatan London dan Taman Finsbury, serta serangan bom di konsert Ariana Grande di Manchester.
- Bernama

