Pembantu MP Bandar Kuching ditahan
Seorang anggota DAP ditahan polis selepas dituduh mempersenda Datuk Seri Najib Razak.
Abdul Aziz Isa yang juga pembantu Anggota Parlimen Bandar Kuching, Chong Chieng Jen, ditahan mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia
"Tuduhannya ialah dia membuat komen tidak menyenangkan mengenai perdana menteri," kata Chong di Facebooknya.
Seksyen Section 233(1)(a) adalah kesalahan sengaja membuat atau memulakan penghantaran komunikasi yang jelik dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain.
Jika didapati bersalah Abdul Aziz boleh didenda sehingga RM50,000 atau penjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya sekali.
Seksyen 504 pula menyatakan sseorang yang sengaja mengaibkan dan menyebabkan kemarahan kepada seseorang dan mengganggu ketenteraman awam boleh dihukum penjara sehingga dua tahun, atau denda atau kedua-duany sekali.
Ketika dihubungi Chong berkata Abdul Aziz dipanggil polis untuk memberi keterangan di Pusat Sehenti Balai Polis Kuching petang tadi.
Katanya, Abdul Aziz ditahan dan digari sejurus selepas tiba di situ kira-kira jam 3.30 petang.
Tidak dapat dipastikan kenyataan Abdul Aziz yang mana dirujuk dalam laporan dan siasatan ke atasnya itu.
Kata Chong, sangat ironi apabila hak memberi pandangan menyebabkan seseorang ditahan pada Hari Malaysia.
"Sungguh memalukan apabila pentadbiran negara terpaksa menggunakan polis untuk menekan suara-suara yang tidak bersetuju dengan kerajaan," katanya di Facebook.

