Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Langkah tempang PAS mahu tanding di 42 kerusi S'gor'
Diterbitkan:  Sep 18, 2017 4:25 PM
Dikemaskini: 8:31 AM

Pemuda PKR (AMK) Selangor hari ini mempersoalkan kenyataan Pesuruhjaya PAS Selangor Sallehen Mukhyi bahawa parti itu bersedia bertanding di 42 daripada 56 kerusi negeri termasuk yang dipegang oleh PKR.

Setiausaha AMK Selangor Syed Badli Shah Syed Osman dalam satu kenyataan hari ini berkata pengumuman Sallehan bulan lalu dilihat sebagai langkah tempang terutama ketika PAS kini dilihat sebagai sebahagian daripada kerajaan negeri sekarang.

“Kesediaan PAS untuk bertanding di 42 kerusi DUN di Selangor termasuk di kerusi PKR dilihat sebagai langkah tempang untuk memperkukuh kerajaan sedia ada malah memberi kelebihan kepada Umno dan BN apabila pertembungan tiga penjuru berlaku.

“Apakah niat PAS sebenarnya? Adakah PAS sengaja mahu beri ruang kepada Umno dan BN kembali berkuasa di Selangor?

"Dengan mengumumkan secara terbuka kesediaan PAS untuk bertanding di 42 kerusi DUN, ini bermakna PAS bersedia untuk bertembung tiga penjuru,” katanya.

Menurut Syed Badli, jika benar PAS mahu bertembung pada pilihan raya akan datang dan tidak berniat untuk mempertahankan kerajaan sedia ada, maka sudah tidak relevan bagi parti itu untuk terus kekal berada bersama dalam kerajaan negeri Selangor.

“Seharusnya semua pemegang-pemegang jawatan PAS di dalam kerajaan negeri Selangor sekarang harus melepaskan jawatan mereka berikutan kesediaan mereka untuk bertembung tiga penjuru.

“Di kala ini kita bekerjasama berdasarkan mandat yang diberikan rakyat pada pilihan raya umum lalu. Namun kerjasama ini akan berakhir apabila PAS bersedia untuk bertembung pada pilihan raya akan datang,” katanya.

Syed Badli berkata jika agenda rakyat masih menjadi pilihan PAS, maka parti itu harus memastikan pertandingan satu lawan satu sebagai jalan penyelesaian terbaik.

“Rendahkan ego dan kembali ke meja rundingan. Namun sebaliknya jika PAS mahu gadaikan Selangor kembali ke tangan BN, maka PAS adalah musuh yang nyata.

“Semoga agenda rakyat terus dipertahankan melalui Pakatan Harapan. Perkemaskan jentera dan siap siaga menghadapi musuh yang nyata,” katanya.

Lihat Komen
ADS