Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kerana dikejutkan tidur, kepala anak dan isteri 'binasa'

GLOBAL | Gara-gara marah kerana dikejutkan dari tidur, seorang lelaki memukul kepala dua anak dan isterinya menggunakan palu atau tukul besi sebelum mengamuk sehingga merosakkan harta benda jirannya.

Menurut laporan media atas talian hari ini, kejadian berlaku pada 4 petang semalam di sebuah kawasan perumahan awam di Kampung Kalodran, daerah Walantaka di Kota Serang, kira-kira 100 kilometer dari Jakarta.

Stanley yang berang dengan anaknya yang mengejutkan beliau, terus mencapai palu dan memukul kepala dua anaknya iaitu Marcel, 8, dan April, 5, sebelum memukul kepala isterinya Diah, yang berusia 35 tahun.

Ketua kawasan perumahan awam itu, Harahap, dipetik sebagai berkata, kejadian disedari oleh jiran-jirannya apabila terdengar jeritan meminta tolong daripada isteri lelaki terbabit.

Katanya, setelah beberapa jiran datang ke rumah mangsa, lelaki itu keluar dan mengamuk pula dengan memecahkan beberapa kenderaan dan cermin tingkap rumah berhampiran menggunakan palu itu.

"Penduduk kampung kemudian keluar beramai-ramai dan berjaya menangkap lelaki terbabit sebelum menyerahkannya kepada pihak polis," katanya.

Lelaki yang tidak mempunyai pekerjaan tetap itu kini ditahan di balai polis Kota Serang manakala anak isterinya dimasukan ke hospital berdekatan kerana mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala.

- Bernama

Lihat Komen
ADS