Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Isu tanah MCA: Chew mahu heret wakil DAP ke mahkamah

Naib Presiden MCA Datuk Chew Mei Fun akan memulakan tindakan undang-undang ke atas ADUN Damansara Utama, Yeo Bee Yin mengenai dakwaan yang dibuat terhadapnya berhubung penjualan sebidang tanah kepada MCA Selangor yang didakwa di bawah harga pasaran.

Chew secara khusus merujuk rakaman video yang disiarkan pada 14 September lalu di laman rasmi Facebook Yeo.

"Selepas berunding dengan peguam, saya memutuskan untuk memulakan tindakan undang-undang terhadap Yeo Bee Yin atas tuduhan palsunya dalam rakaman video yang mendakwa saya berperanan penting dalam membantu MCA Selangor membeli sebidang tanah di bawah nilai pasaran dalam tahun 2006 dan 2007 dan juga mengusir penduduk setinggan di sana secara paksa.

"Kenyataan yang diterbitkan dalam video tersebut, antara lain, jauh dari kebenaran, sangat cuai, melulu, sengaja, berniat jahat dan bertujuan untuk menjatuhkan maruah saya di mata orang ramai.

"Saya akan menghantar surat tuntutan untuk permohonan maaf, dan memintanya mengeluarkan video itu dari laman Facebooknya," kata Chew menerusi satu kenyataan dari Wisma MCA di Kuala Lumpur hari ini.

Malaysiakini telah menghubungi Yeo untuk ulasannya.

Yeo, bersama-sama dengan Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua, sebelum ini mendedahkan bahawa MCA Selangor berjaya mendapat kelulusan membeli sebidang tanah seluas satu ekar, yang terletak di Kampung Cempaka di Petaling Jaya pada tahun 2007 sebelum membelinya pada harga RM1 bagi satu kaki persegi pada tahun 2008 dengan jumlah RM52,000.

Mereka menganggarkan harga pasaran tanah itu adalah pada RM400 bagi setiap kaki persegi dan berjumlah RM18 juta.

Mereka mendakwa bahawa Chew sebagai Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara ketika itu adalah sebahagian daripada anggota Jawatankuasa Tanah Daerah (JTK) yang diberi kuasa untuk meluluskan tawaran tanah di kawasannya, dan ini menyaksikan dirinya sebagai terbabit dalam perjanjian itu.

Chew berkata, sebagai ahli parlimen ketika itu, beliau tidak menghadri mesyuarat tersebut, dan tidak mempunyai kuasa ke atas tanah.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS