Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Sungguhkah Suu Kyi mahu tangani krisis Rohingya?
Diterbitkan:  Sep 19, 2017 4:58 PM
Dikemaskini: 9:05 AM

GLOBAL | Mungkin untuk menunjukkan betapa dia memang serius, Aung San Suu Kyi membatalkan lawatannya ke Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu di New York.

Digambarkan sebegitu penting dalam usaha menangani isu Rohingya jurucakap Suu Kyi, Zaw Htay, mendakwa wanita itu akan "menyatakan kebenaran kepada dunia" dalam ucapan hari ini.

Maka berucaplah Suu Kyi selama kira-kira 30 minit untuk memperkatakan apa yang berlaku pantai barat Myanmar yang dinamakan Rakhine itu.

Namun sepanjang tempoh itu Suu Kyi hanya menyebut nama Rohingya cuma sekali, itu pun semasa merujuk kepada Tentera Pembebasan Rohingya Arakan.

Portal The Guardian melaporkan Suu Kyi mengaku dia tidak takut disiasat pihak antarabangsa ekoran krisis yang menyebabkan kematian dan penyeksaan ke atas etnik beragama Islam berkenaan.

Di sebalik pelbagai laporan media Suu Kyi berkata kerajaannya masih menjalankan siasatan terhadap dakwaan pasukan tentera Myanmar melakukan kekejaman terhadap Rohingya.

"Saya Sedar perhatian dunia difokuskan pada keadaan di negeri Rakhine. Sebagai anggota masyarakat yang bertanggungjawab di Myanmar tidak takut dengan tumpuan antarabangsa," katanya.

Tak kecam tentera pun

Pemenang anugerah keamanan Nobel itu juga mendakwa kerajaan Myanmar "bimbang" dengan keadaan yang berlaku itu.

"Kami ingin mengetahui masalah sebenar. Terdapat tuduhan dan tuduhan balas. Kita perlu mendengar semua itu.

"Kita perlu memastikan dakwaan tersebut berdasarkan bukti kukuh sebelum kita mengambil tindakan," katanya di ibu negara Myanmar, Naypyidaw pagi tadi.

Krisis Rakhine menjadi perhatian dunia, terutama di kalangan umat Islam apabila kezaliman pihak berkuasa Myanmar didakwa berlaku berterusan.

Selain jumlah kematian yang dilaporkan tinggi, krisis itu juga memaksa kira-kira 400,000 menjadi pelarian ke negara jiran, Bangladesh.

Suu Kyi, 71, dikecam hebat kerana imejnya terbina sebagai pejuang hak asasi manusia namun menutup mulutnya sama sekali berhubung nasib Rohingya.

Ucapan hari ini adalah kenyataan rasmi pertama Suu Kyi dan negara majoriti Buddha itu mengenai isu berkenaan.

Untuk rekod kekejaman itu turut dikecam pemimpin Buddha dunia, termasuk Dalai Lama.

Kata Suu Kyi majoriti kampung Rohingya tidak terjejas dengan keganasan itu dan pada masa sama dia langsung tidak mengkritik angkatan tentera negara itu yang bertanggungjawab atas serangan-serangan terhadap Rohingya.

Mengenai tentera Suu Kyi cuma berkata, mereka diarah supaya mengekang keganasan dan mengelakkan "kerosakan sampingan."

Madah berhelah Suu Kyi

Kenyataan itu sangat bertentangan dengan pengakuan pelarian yang berada di Bangladesh. Menurut mereka kempen keganasan terancang itu menyasarkan orang awamsebagai mangsa.

Imej satelit juga menunjukkan banyak kawasan petempatan Rohingya musnah dibakar sejak keganasan terbaru mula meletus pada 25 Ogos lalu.

Suu Kyi juga mendakwa negara itu sedia "pada bila-bila masa" untuk menerima pelarian yang ada di negara lain untuk pulang, namun ia tertakluk kepada proses pengesahan.

Secara umum kenyataan itu nampak melegakan, tetapi jika diteliti lebih lanjut, ia seakan-akan madah berhelah Suu Kyi.

"Proses pengesahan" itu tidak dijelaskannya dengan lebih lanjut dan masih kabur siapa yang dibenarkan pulang semula ke Rakhine kerana hampir semua etnik Rohingya tidak dianggap warganegara oleh Myanmar.

Pertubuhan hak asasi manusia antarabangsa, Amnesty International, menilai ucapan Suu Kyi itu sebagai langkah kerajaan enggan mengakui realiti yang menakutkan di Rakhine.

"Kata kenyataan Suu Kyi bahawa kerajaan tidak takut disiasat pihak antarabangsa kelihatan longgar.

"Kalau dia tak ada apa-apa nak disembunyikan, mereka mesti membenarkan penyiasat PBB berkunjung ke negara berkenaan, termasuk ke Rakhine," kata Pengarah Amnesty International Asia Tenggara James Gomez.

Sementara itu ketua pasukan penyiasat keganasan Myanmar yang ditugaskan PBB, Marzuki Darusman, berkata Naypyidaw perlu memberi masa lebih lama untuk mereka mengumpul bukti pembunuhan, penyeksaan, keganasan seksual, penggunaan jerangkap samar dan pembakaran rumah orang awam di negara itu.

"Kami akan menyiasat apa saja berdasarkan bukti yang ada," katanya selepas mengemukakan permohonan supaya pasukannya dibenarkan berada di Myanmar sehinngga September 2018.

Bagaimanapun duta Myanmar ke PBB, Htin Lynn, berkata siasatan Marzuki "tidak membantu" dan mempertahankan langkah kerajaannya sebagai memerangi pengganas dan mengekalkan keamanan.

Untuk rekod Suu Kyi bukanlah seorang tokoh yang memegang kuasa kerajaan secara rasmi selepas pentadbiran negara itu berubah daripada junta tentera kepada awam.

Di atas kertas, presiden negara itu ialah Htin Kyaw. Dia adalah bekas pemandu kepada Suu Kyi. Hakikatnya Myanmar diketuai Suu Kyi.

Lihat Komen
ADS