Gempa kuat dekat Mexico City korbankan lebih 138 orang
GLOBAL l Sekurang-kurangnya 138 orang maut apabila gempa kuat dengan magnitud 7.1 melanda tengah Mexico semalam, meruntuhkan bangunan di ibu negara itu dan penyelamat berusaha mencari mangsa di di bawah runtuhan.
Beribu-ribu berlari ke jalan raya dalam keadaan panik, berjuta lagi terputus bekalan elektrik akibat gempa yang melanda sekitar waktu makan tengah hari.
Datuk Bandar Mexico, Miguel Angel Mancera berkata, 44 bangunan rosak teruk atau musnah. Beberapa kebocoran gas dan kebakaran berlaku.
Setiausaha Dalam Negeri Mexico, Miguel Angel Osorio Chong memberitahu stesen TV tempatan, pasukan penyelamat bekerja keras untuk mencari mangsa. Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengucapkan takziah dan berkata ia bersedia untuk membantu.
"Ada beberapa bangunan di mana kami mendapat laporan ada orang di dalamnya. Mereka melakukannya dengan berhati-hati," kata Miguel sambil menambah bahawa lebih banyak anggota penyelamat diperlukan.
Gegaran itu berlaku pada ulang tahun ke-32 kejadian gempa bumi yang mengorbankan ribuan orang di Mexico City pada tahun 1985.
Ramai rakyat Mexico mengambil bahagian dalam latihan menghadapi gempa semalam, seperti yang biasa diadakan pada setiap 19 September.
Gempa kuat di selatan Mexico pada 7 September membunuh sekurang-kurangnya 98 orang.

