Mahkamah Kanada tarik sekatan kes firma berkaitan Taib
Mahkamah Tinggi Kanada memutuskan bahawa kes pengubahan wang haram membabitkan syarikat yang dikaitkan dengan Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Abdul Taib Mahmud akan dibicarakan secara terbuka, kata sebuah NGO Switzerland, Bruno Manser Fund (BMF).
Dalam satu kenyataan, BMF berkata, kes yang difailkan pada Julai lalu untuk mendapatkan akses kepada rekod kewangan firma Sakto Corporation yang berpangkalan di Ottawa dan syarikat-syarikat gabungannya pada mulanya disekat, sebelum Mahkamah Tinggi Ontario membenarkannya.
BMF mendakwa bahawa keluarga Taib telah menyalurkan jutaan ringgit yang didakwa sebagai wang haram ke dalam syarikat berkenaan.
Sakto diasaskan bersama dan dipengerusikan oleh anak perempuan Taib, Datuk Amar Jamilah, yang suaminya Sean Murray adalah presiden syarikat. Syarikat itu berurusan terutamanya dalam pembangunan hartanah.
BMF sedang berusaha mendapatkan perintah mahkamah bagi memaksa Royal Bank of Canada, Toronto-Dominion Bank, Manulife Financial Corporation dan Deloitte Touche Tohmatsu untuk untuk mendedahkan maklumat pemilikan dan rekod dakwaan aliran wang dari Malaysia ke Sakto.
BMF berharap dapat menggunakan maklumat berkenaan untuk memulakan pendakwaan swasta terhadap Sakto. Malaysiakini telah menghubungi pejabat Sakto dan Taib untuk mendapatkan ulasan mereka.
Pada Mac lalu, sebuah laporan BMF yang dibentangkan di Parlimen Kanada mendakwa keluarga Taib menyalurkan sekurang-kurangnya RM232 juta kepada kumpulan syarikat Sakto.
Laporan itu menyebut bahawa Taib, bekas ketua menteri Sarawak, berkata dalam satu wawancara bahawa beliau telah memberikan Jamilah sejumlah wang yang tidak didedahkan untuk memulakan perniagaannya di Ottawa.
Beliau mendakwa bahawa wang itu adalah sebagai ganjaran yang diterimanya selepas meletakkan jawatan daripada kerajaan persekutuan pada tahun 1981.
Laporan itu juga merujuk sepucuk surat 2014 oleh Murray kepada Toronto Star, yang mana mana beliau mendedahkan bahawa pemegang saham syarikat itu adalah Jamilah dan tiga ahli keluarga lain, termasuk adik Taib, Onn Mahmud.
Walau bagaimanapun, Murray dalam surat tersebut menafikan bahawa Taib terlibat dengan syarikat itu.

