Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kes 'bin Abdullah': Hakim diingatkan prinsip asas undang-undang

Hakim perlu sentiasa mengambil kira prinsip asas undang-undang dalam membuat keputusan, kata bekas hakim Mahkamah Persekutuan sebagai merespon isu “bin Abdullah”.

Dalam forum yang dianjurkan Majlis Peguam berkenaan isu itu semalam, hakim bersara Gopal Sri Ram berkata bahawa perkataan “fatwa” tidak disebutkan di mana-mana Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian (BDRA).

Oleh itu, kata Sri Ram, Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), telah silap membuat keputusan.

Peguam dan hakim perlu merujuk undang-undang yang relevan untuk menentukan tindakan yang perlu mereka lakukan sesuai di sisi undang-undang, tambahnya.

“Pembuat keputusan silap membuat pertimbangan maka keputusannya terbatal.

“Yang menghairankan adalah, hakim Mahkamah Tinggi tidak tahu tentang hal itu. Ini menjelaskan banyak perkara tentang kualiti kehakiman yang kita ada di Mahkamah tinggi,” kata Sri Ram yang disambut ketawa hadirin.

“Sangat bahaya jika hakim sendiri tidak tahu prinsip asas ini. Jika hakim tidak tahu prinsip asas ini maka ada kepincangan yang serius dalam sistem kita,” katanya.

Ketua Pengarah JPN sebelum ini menggunakan fatwa yang dikeluarkan Majlis Fatwa Kebangsaan bahawa anak luar nikah tidak boleh menggunakan nama individu yang mengaku bapa kepada anak itu jika anak itu lahir kurang daripada enam bulan daripada tarikh pernikahan.

Kelahiran anak pula hanya didaftarkan dua tahun kemudian sebagai pendaftaran lewat dengan nama bapa kanak-kanak diletakkan sebagai ‘Abdullah’, bukan nama ayahnya.

Permohonan semakan kehakiman telah dibuat pada September 2015 dan Mahkamah Tinggi menolak permohonan itu pada 4 Ogos tahun lalu.

Mahkamah Rayuan bagaimanapun kemudian memutuskan seorang anak luar nikah boleh menggunakan nama sebenar bapanya dan fatwa yang dikeluarkan Majlis Fatwa Kebangsaan tidak mempunyai kuasa undang-undang.

[Berita asal]

Lihat Komen
ADS