Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Mangsa lemas dihanyut banjir berubah perangai sebelum kejadian'
Diterbitkan:  Sep 21, 2017 7:19 AM
Dikemaskini: 11:27 PM

Ibu kepada mangsa yang lemas dihanyutkan arus banjir di Jalan Paya Terubong di George Town pagi Jumaat lepas tidak menyangka lambaian anaknya ketika hendak ke tempat kerja malam sebelum kejadian, merupakan detik terakhir dia melihat anak bongsunya itu.

Adisah Jabidi, 66, berkata anak ketiganya Noor Afidah Yajunas, 30, yang bekerja sebagai operator pengeluaran di sebuah kilang di Bayan Lepas tidak pernah berbuat demikian sebelum ini, malah turut bersikap lebih manja dengannya dan kanak-kanak perempuan Alisha Muhammad Lau, 2, yang dijaganya.

"Arwah seolah-olah tahu dia hendak pergi untuk selama-lamanya kerana turut meminta saya menghantarnya ke pintu serta menyuruh menunggu di situ sehingga dia pergi dengan menunggang motosikal sambil melambai-lambai dan tersenyum.

"Mak cik langsung tidak menyangka arwah menunjukkan perubahan sebagai tanda dia akan meninggalkan kami untuk selama-lamanya dan kejadian dia dihanyutkan air banjir ketika balik dari kerja hanya diketahui selepas kawannya beritahu mak cik.

“Kemudian mak cik terus pergi ke tempat kejadian untuk melihat serta mencari (arwah)," katanya ketika ditemui pemberita selepas menerima kunjungan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) bagi menyampaikan faedah pengurusan jenazah Noor Afidah sebanyak RM2,000, yang diwakili Pengurus cawangan George Town, Sharudin Waled.

Adisah berkata beliau melihat video kejadian Noor Afidah dihanyutkan air banjir dan terkejut kerana arusnya sangat deras dan usaha beberapa orang yang cuba membantu memegang anaknya untuk menyelamatkan arwah juga gagal.

"Memang banjir kali ini luar biasa kerana arusnya sangat deras dan dalam video yang mak cik lihat itu, arwah terjatuh dari motosikalnya dan masih memakai pakaian kerja serta bertopi keledar, ada beberapa orang cuba tolong tetapi tidak berjaya," katanya sayu.

Jenazah anaknya itu dikebumikan pada hari yang sama mayatnya ditemui iaitu pada hari Sabtu di Kampung Engo, Kuala Kangsar di Perak kerana mereka berasal dari sana, katanya.

Sementara itu Sharudin berkata selain faedah pengurusan mayat, Adisah juga akan menerima pencen sebanyak RM624 setiap bulan seumur hidupnya kerana mangsa adalah pencarum Perkeso.

Dalam kejadian kira-kira jam 8 pagi Jumaat, Noor Afidah yang menunggang motosikal dipercayai meredah arus banjir untuk pulang ke rumahnya namun terjatuh sebelum dihanyutkan arus banjir ke dalam longkang berhampiran.

Mayat mangsa ditemui oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Pulau Pinang pada 7.45 pagi keesokannya di dalam sungai berhampiran Bukit Jambul iaitu kira-kira dua kilometer dari tempat dia dilaporkan hanyut.

- Bernama

Lihat Komen
ADS