GLOBAL Menteri Luar Korea Utara, Ri Yong Ho menyifatkan ucapan Presiden AS Donald Trump kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bahawa Amerika Syarikat mungkin terpaksa memusnahkan Korea Utara sepenuhnya, umpama "anjing menyalak bukit'.

"Terdapat kata-kata 'walaupun anjing menyalak, perarakan berterusan,'" kata Ri kepada pemberita di hadapan sebuah hotel dekat ibu pejabat PBB di New York.

"Jika (Trump) rasa mahu mengejutkan kita dengan bunyi anjing menyalak, ternyata dia sedang bermimpi."

Ditanya reaksinya terhadap tindakan Trump menggelar pemimpin Korea Utara Kim Jong Un sebagai "Roket man", Ri secara berseloroh berkata: "Saya kasihan dengan pembantunya."

Ri dijangka menyampaikan ucapan di PBB pada hari Jumaat.

Komennya itu adalah reaksi rasmi pertama dari Korea Utara selepas Trump mengeluarkan amaran tegasnya itu kepada Pyongyang dalam ucapannya kepada PBB, mendesak negara anggota untuk bekerjasama untuk mengasingkan rejim Kim sehingga ia menghentikan sikapnya yang bermusuhan.

Sekiranya Korea Utara mengancam Amerika Syarikat atau sekutunya, Trump berkata: "Kami tidak akan mempunyai pilihan selain memusnahkan Korea Utara sepenuhnya."

"Rocket man itu adalah dalam misi bunuh diri untuk dirinya dan rejimnya," tambahnya.

Pejabat presiden Korea Selatan kemudian mengatakan bahawa amaran Trump terhadap Korea Utara adalah "tegas dan khusus." [Baca berita penuh]

- Reuters