Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Azalina: Suspek bakar tahfiz akan diadili sebaik mungkin
Diterbitkan:  Sep 21, 2017 12:01 PM
Dikemaskini: 4:07 AM

Tujuh suspek yang tahan kerana membakar Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Kuala Lumpur baru-baru ini akan diadili sebaik mungkin mengikut undang-undang sedia ada, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman.

Azalina berkata sekiranya kesemua suspek didapati bersalah, Seksyen 97 (1) Akta Kanak-Kanak 2001 menjelaskan bahawa hukuman mati tidak boleh dijatuhkan kepada pesalah kanak-kanak di bawah umur 18 tahun.

Bagaimanapun, katanya, mahkamah boleh menjatuhkan hukuman penjara selama mana yang diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong atau Yang di-Pertua Negeri.

"Selain itu, pesalah juga boleh dikenakan hukuman seperti yang termaktub di bawah Seksyen 91 (1)."

"Manakala Seksyen 94 akta yang sama memberi kuasa kepada mahkamah untuk memerintah supaya ibu bapa dikenakan denda atau perlu membayar pampasan," kata Azalina dalam kenyataan media hari ini.

Azalina berkata insiden berkenaan perlu dijadikan pengajaran kepada semua pihak khususnya ibu bapa dalam membendung kes-kes jenayah melibatkan kanak-kanak.

"Saya berharap semua pihak perlu berhenti membuat sebarang spekulasi dan memberi ruang kepada pihak berkuasa untuk melengkapkan siasatan.

"Saya percaya kes ini akan diadili sebaik mungkin," katanya.

Dalam kejadian awal pagi 14 September lalu, 21 pelajar dan dua warden meninggal dunia apabila sebahagian daripada bangunan 3 tingkat pusat tahfiz itu terbakar.

Susulan itu pihak polis menahan 7 suspek yang terdiri daripada remaja berumur 11 hingga 18 tahun selepas siasatan mendapati kebakaran itu berpunca daripada angkara khianat.

Lihat Komen
ADS