Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Penganjur pesta arak mahu jumpa DBKL
Diterbitkan:  Sep 21, 2017 2:16 PM
Dikemaskini: 6:38 AM

Penganjur Better Beer Festival 2017, Mybeer (M) Sdn Bhd mahu berjumpa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) selepas DBKL membatalkan permit acara itu atas sebab keselamatan.

Mybeer berkata, tujuan pertemuan itu adalah untuk membentangkan sekali lagi pelan kawalan keselamatan mereka yang diyakini memuaskan.

"Kami ingin menegaskan yang kami telah mengadakan pesta tahunan ini sejak lima tahun lalu tanpa sebarang kejadian yang tidak diingini sebelum, semasa dan selepas acara.

"Kami berharap DBKL dapat memberi peluang kepada kami untuk bertemu dan membincangkan rayuan kami, serta memberi kebenaran acara ini diteruskan," kata Mybeer dalam satu kenyataan hari ini.

Pada 18 September lalu, DBKL menolak permohonan penganjuran pesta itu yang dijadual berlangsung pada 6 dan 7 Oktober di Kuala Lumpur, tanpa menyatakan sebab khusus.

Namun menurut laporan Kwong Wah Daily semalam, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata beliau diberitahu ketika mesyuarat kabinet yang keputusan DBKL itu atas faktor keselamatan.

Ketua Biro Keharmonian Agama MCA Ti Lian Ker yang sebelum ini mempersoalkan tindakan DBKL hari ini berkata, beliau dapat menerima pembatalan permit itu jika ia berdasarkan faktor keselamatan.

"MCA yakin wujudnya isu keselamatan dan ada ancaman jelas bahawa acara ini boleh menjadi sasaran militan IS, dan kita tidak boleh memperjudikan keselamatan orang awam," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Mybeer berkata mereka mengalu-alukan sebarang cadangan DBKL bagi memastikan acara itu dapat berjalan dengan selamat.

"Seperti yang dilakukan sejak lima tahun lalu, kami akan mengadakan pemeriksaan pengenalan dan keselamatan di setiap pintu masuk, dan menempatkan pengawal keselamatan dan anggota Bulan Sabit Merah secukupnya dan disokong polis bantuan bagi menjamin keselamatan," katanya.

Bukan tolak hiburan

Tidak seperti penganjuran sebelumnya yang kurang diperkatakan, Better Beer Festival 2017 mendapat bantahan pelbagai pihak selepas mendapat liputan meluas media.

Naib Presiden PAS Datuk Iskandar Abdul Samad berkata acara itu tidak mengambil kira sensitiviti umat Islam serta kedudukan Islam sebagai agama persekutuan.

Ketua Wanita Parti Amanah Negara (AMANAH) Siti Mariah Mahmud pula berkata walaupun memahami hak orang bukan Islam untuk meminum alkohol, beliau membantah sebarang usaha mempromosikan bahan itu yang boleh mendatangkan kesan sosial dan kesihatan yang buruk.

"Ini tidak bermakna orang bukan Islam tidak lagi boleh mendapatkan minuman sosial mereka. Tetapi apabila kita melakukan promosi, itu bermakna kita menggalakkannya," katanya.

Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin pula berpandangan pihak yang membantah acara itu tidak semestinya menolak hiburan.

"Betapa banyak golongan beragama yang turut berhibur dan bernyanyi dengan cara yang santun," katanya ketika membidas sindiran bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim kepada pihak yang membantahnya.

Manakala 4 wakil rakyat DAP dan seorang dari PKR pula menyokong penganjuran acara itu, dan menyifatkan tindakan DBKL membatalkan permit sebagai cuba menjadi jaguh agama dan tidak mempedulikan semangat muhibah dan kepelbagaian kaum di Kuala Lumpur.


 

Lihat Komen
ADS