Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
MBPJ tidak setelus dulu, dakwa persatuan penduduk

Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) kini tidak lagi telus dalam urusannya, termasuk dalam soal kewangan, dakwa sebuah persatuan penduduk di sana.

Persatuan MyPJ berkata, walaupun MBPJ bakal mengadakan sesi dialog belanjawan tahunan pada 26 September ini, penduduk dan ahli jawatankuasa pihak berkuasa tempatan (PBT) masih tidak dimaklumkan tentang kedudukan kewangannya.

"Untuk menjadikan sesi dialog itu berjaya, maklumat berhubung laporan audit 2016, laporan perbelanjaan yang dikemaskini dan rancangan belanjawan bagi tahun depan seperti yang diminta surat kami bertarikh 11 September lalu kepada datuk bandar perlulah dibuka kepada umum.

"Ia perlu dilakukan tanpa menggunakan Enakmen Kebebasan Maklumat 2011. Tetapi kami kecewa kerana laporan yang diminta ini tidak diberikan sehingga hari ini," kata wakil MyPJ Ehsan Salam.

Seorang lagi wakil MyPJ Jeffrey Phang pula berkata, datuk bandar dahulu Datuk Roslan Sakiman sentiasa membentangkan laporan tahunan dan maklumat lain berkaitan kegiatan MBPJ.

"Ketika Datuk Roslan menjadi datuk bandar, MBPJ sentiasa membentangkan laporan: berikut adalah perbelanjaan dan apa yang kami lakukan; data kualitatif dan kesan (program MBPJ) kepada penduduk.

"Kini tiada lagi. Kami melihat cara mereka menjadi semakin kurang telus," katanya.

Beliau berkata, MBPJ sepatutnya menyiarkan laporan audit 2016 di laman web mereka.

Pada 1 Oktober 2012, Roslan dipindahkan dengan notis 24 jam ke jawatan timbalan setiausaha kerajaan negeri Selangor, atas arahan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

MyPJ juga menyuarakan kekecewaan kepada Pakatan Harapan (HARAPAN) yang menurut mereka tidak lagi membawa isu pilihan raya kerajaan tempatan.

Malah Phang berkata, pelantikan wakil NGO dalam PBT - yang merupakan pendekatan jangka pendek sementara pilihan raya itu dapat dilaksanakan - telah dikurangkan kepada dua lantikan sahaja, daripada 24 jawatan yang boleh diisi.

Memandangkan pilihan raya kerajaan tempatan masih belum dapat dilaksanakan, Pakatan Rakyat pada 2008 berkata akan memperuntukkan 25 peratus kuota jawatan ahli majlis PBT di Selangor kepada NGO dan golongan profesional.

"Malangnya, penyertaan orang awam semakin merosot. Ia (pilihan raya kerajaan tempatan) tidak lagi disebut dalam ceramah mereka," kata Ehsan.

[Baca berita penuh]
 

Lihat Komen
ADS