Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Diploma untuk pengerusi JKKK mulai tahun depan
Diterbitkan:  Sep 21, 2017 5:04 PM
Dikemaskini: 9:08 AM

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) berpeluang untuk meningkatkan tahap profesionalisme mereka dengan mengikuti kursus peringkat diploma yang akan ditawarkan mulai tahun depan.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata Kolej Universiti Agrosains Malaysia (UCAM) sedia menawarkan Diploma Pentadbiran Luar Bandar kepada para pengerusi JKKK.

Bagaimanapun, Ismail Sabri berkata kursus peringkat diploma itu adalah terbuka dan ia merupakan pilihan kepada mana-mana pengerusi JKKK yang berminat,
"Ia pilihan dan bukannya wajib seperti Sijil Tadbir Urus Desa yang mesti diikuti oleh setiap pengerusi JKKK sekarang dan perbincangan lanjut dengan UCAM sedang dibuat," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penutup program Sijil Tadbir Urus Desa JKKK, JKKK Persekutuan dan JKKK Orang Asli Zon Utara yang disempurnakan Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir di Ipoh hari ini.

Di majlis itu 1,200 peserta dari Kedah, Perlis, Perak dan Pulau Pinang menamatkan kursus intensif selama tiga hari bermula 19 Sept lepas.

Program Sijil Tadbir Urus Desa memberi penekanan kepada lima modul utama iaitu pentadbiran desa, pengurusan kewangan, keusahawanan, pemantauan projek serta tanggungjawab sebagai penolong pendaftar pemilih.

Menjelas lanjut, Ismail Sabri berkata penawaran kursus peringkat diploma itu selari dengan peranan serta tanggungjawab para Pengerusi JKKK ketika ini yang semakin banyak dan pelbagai.

Sementara itu, Zambry berkata dalam konteks Perak, pihaknya berhasrat untuk menggunakan konsep JKKK bagi kampung-kampung India yang diwujudkan di negeri ini.

"Kita mahu menggunakan kaedah sama untuk mengukuhkan dan melibatkan sebanyak tujuh kampung-kampung India yang ada di Perak dan diharapkan kementerian dapat membantu," katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS